Mercedes-Benz Malaysia telah memanaskan pasaran automotif tempatan, selepas kejayaan model GLA Nightfall Edition sebelum ini, kini giliran “abang besar” pula menerima sentuhan gelap yang menggoda: Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé Nightfall Edition.
Bagi anda yang mencari SUV dengan profil coupe yang seksi, prestasi AMG yang padu, dan imej “bad boy” yang premium, ini mungkin jawapan yang anda cari. Edisi khas yang dipasang secara tempatan (CKD) ini memfokuskan kepada penampilan yang lebih berani dan bold. Perubahan paling ketara adalah penggunaan AMG Night Package Exterior II.

Apa yang anda dapat?
- Sentuhan Dark Chrome: Meliputi bilah gril radiator, lencana model pada fender dan belakang, serta logo bintang Mercedes di bahagian belakang.
- Perincian Eksklusif: Penutup tangki bahan api AMG dalam warna silver chrome dengan tulisan “AMG” dan aksen hitam.
- Rim Gergasi: Dipadankan dengan rim aloi ringan 21-inci AMG Y-spoke dan kaliper brek berwarna perak.
- Teknologi Lampu: Sistem DIGITAL LIGHT yang sentiasa menyesuaikan pencahayaan mengikut trafik dan keadaan jalan.
Jangan tertipu dengan saiz enjinnya. Di bawah bonet hadapan terletak enjin AMG 2.0-liter empat-silinder yang dibina dengan prinsip ‘One Man, One Engine’ di Affalterbach.
- Kuasa Maksimum: 310 kW (421 hp).
- Tork Maksimum: 500 Nm.
- Pecutan 0-100 km/j: Hanya 4.5 saat.
- Teknologi Mild Hybrid: Sistem belt-driven starter generator (RSG) 48-volt memberikan lonjakan tambahan 10 kW (14 hp) serta pemanduan yang lebih efisien dan selesa.

Pemanduan juga lebih lincah dengan adanya Rear-axle steering (sehingga 2.5°), memudahkan anda membelok di kawasan sempit atau mengekalkan kestabilan pada kelajuan tinggi. Masuk ke dalam, anda akan disambut dengan suasana kabin AMG yang tipikal. Tetapan pengayaan dalaman mewah tetapi fokus kepada pemandu:
- Tempat Duduk Sport: Dibalut dengan kulit buatan ARTICO dan kemasan karbon fiber AMG.
- Sistem Bunyi: Burmester® 3D surround sound system untuk kualiti audio tahap konsert.
- MBUX Terkini: Paparan spesifik AMG dengan fungsi AMG TRACK PACE untuk anda yang suka melayan litar.
- AMG Real Performance Sound: Anda boleh laras bunyi enjin turbo di dalam kabin daripada bunyi ‘Balanced’ (santai) kepada ‘Powerful’ (emosional).

| Ciri-Ciri | Spesifikasi |
|---|---|
| Enjin | 1,991 cc (AMG 2.0L 4-Cylinder) |
| Output | 310 kW (421 hp) / 500 Nm |
| Transmisi | AMG SPEEDSHIFT MCT 9G |
| Laju Maksimum | 250 km/j (Had Elektronik) |
| Harga (OTR) | RM 518,888 (Semenanjung Malaysia) |
Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé Nightfall Edition ditawarkan pada harga RM 518,888 (di atas jalan, tanpa insurans, termasuk 10% Cukai Jualan).
Jika anda mahukan ketenangan minda, pelan Agility+ oleh Mercedes-Benz menawarkan bayaran bulanan bermula dari RM 6,688. Antara kelebihan pelan ini termasuklah nilai masa depan kereta yang dijamin dan program MobilityPlus (kereta pengganti sementara jika servis melebihi 48 jam).