Pasaran kenderaan elektrik (EV) mampu milik di Malaysia nampaknya semakin rancak. Apabila Leapmotor B10 mula diperkenalkan dalam pasaran Malaysia. Bagi penulis walaupun ini sebuah EV yang hadir sama dari China, tetapi SUV EV Leapmotor B10 ini memiliki sentuhan dan talaan dari eropah. Ini kerana Leapmotor ini dibawa masuk oleh gergasi automotif Stellantis.

Jadi sesi pandu uji kali ini penulis berpeluang untuk merasai pengalaman sendiri bersama Leapmotor B10 varian Design. Sebelum kita pergi lebih mendalam, berikut adalah ringkasan spesifikasi utama Leapmotor B10 varian tertinggi yang kami pandu uji:

​- Kuasa Maksimum: 218 PS (160 kW)

– ​Tork Maksimum: 240 Nm

– ​Sistem Pacuan: Roda Belakang (RWD)

– ​Kapasiti Bateri: 67.1 kWh (Lithium Iron Phosphate – LFP)

– ​Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 434 km

– ​Pengecasan Pantas (DC): Maksimum 168 kW (30%-80% dalam masa <20 minit)

– ​Harga Atas Jalan (OTR tanpa insurans): RM118,900

– ​Reka Bentuk Luaran: Minimalis dan Aerodinamik

​Dari pandangan pertama, Leapmotor B10 menampilkan bahasa rekaan yang sangat bersih dan moden. Profil hadapannya dilengkapi dengan lampu LED melintang penuh (light bar) yang memberikan imej premium, seakan-akan rekaan SUV mewah Eropah. Bagi mengoptimumkan kecekapan tenaga dan jarak gerak, B10 menggunakan pemegang pintu terbenam (flush door handles) yang mengurangkan rintangan angin. Dipadankan pula dengan rim aloi 18-inci, perkadaran (proportion) badan kereta ini nampak sasa dan tidak terlalu kekok untuk sebuah SUV urban.

​Melangkah masuk ke dalam kabin Leapmotor B10 Design, perhatian anda pastinya akan tertumpu kepada skrin infotainmen terapung bersaiz 14.6-inci dengan resolusi tajam 2.5K. Menariknya, sistem multimedia ini sudah menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara terbina dan merupakan satu fungsi wajib bagi pemandu moden hari ini. Tapi apa yang menarik perhatian penulis adalah kemasan dalaman uplosteri nya hadir berwarna putih krim cerah yang membantu memberikan rasa pengalaman ruang dalaman yang luas. Tapi jika dah warna cerah ni, kene la sedikit berhati-hati. Oh ya, segala fungsi untuk nak mengawal aksesori seperti melaras kawalan suhu dan beberapa akesori lain di dalam kenderaan ini perlu di akses melalui skrin infotainmennya. Jadi bagi pengguna baharu, perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu untuk memulakan perjalanan.

Selain itu juga, dengan kehadiran ​Bumbung Kaca Panoramik ini mampu memberikan rasa ruang yang sangat luas dan premium. dari sudut bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara audio mewah ini memberikan pengalaman mendengar alunan muzik sangat padu dan cukup. Namun, satu aspek yang perlu dikompromi adalah ruang but belakang sebesar 320 liter. Ia mencukupi untuk barangan harian, tetapi agak terhad jika anda jenis yang gemar membawa muatan besar untuk pulang ke kampung. Mana tidaknya, orang kita kan suka berjalan-jalan sekeluarga untuk pulang ke kampung, jika ada cuti panjang.

​Pengalaman Pemanduan Leapmotor B10 ini sedikit memuaskan apabila mempunyai talaan Chassis eropah yang mantap Ini adalah ‘selling point’ terbesar Leapmotor B10. Walaupun ia sebuah jenama China, memandangkan Leapmotor kini berada di bawah payung Stellantis, sistem pengendalian (handling) dan suspensi B10 telah ditala sepenuhnya oleh jurutera Eropah (pasukan yang sama mengendalikan jenama seperti Alfa Romeo dan Peugeot).

Jika digunakan sebagai kenderaan harian, Leapmotor B10 ini sangat bersesuaian dengan pemanduan bandar dan juga lebuh raya, dimana ia memiliki kuasa 218 PS dan tork 240 Nm yang dihantar ke roda belakang (RWD), pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam sekitar 8 saat. Di dalam bandar, hantaran tork adalah serta-merta (instant), memudahkan urusan memotong dan menukar lorong.

​Apabila dibawa ke lebuhraya dan jalan berliku, kawalan badannya (body control) sangat mengagumkan untuk sebuah SUV elektrik bajet. Masalah “membuai” atau body roll yang sering dialami pada EV segmen ini berjaya dikurangkan dengan signifikan. Sterengnya terasa responsif dan memberikan maklum balas jalan yang baik. Penulis sendiri pun cukup seronok menikmati pemanduan Leapmotor B10 ini.

​Dengan kapasiti bateri 67.1 kWh, jarak gerak rasmi WLTP adalah sejauh 434 km. Berdasarkan pemanduan dunia nyata di Malaysia dengan cuaca panas dan penyaman udara yang sentiasa terpasang, anda boleh menjangkakan jarak pemanduan sekitar 350 km hingga 380 km untuk satu cas penuh.

​Bagi pengecasan pantas (DC), B10 Design menyokong input sehingga 168 kW. Jika anda menggunakan pengecas pantas di lebuhraya PLUS, pengecasan dari 30% hingga 80% hanya mengambil masa di bawah 20 minit, menjadikannya sangat praktikal untuk pemanduan jarak jauh.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *