Pasaran motosikal elektrik (EV) di Johor terus berkembang apabila GGR Motor X Ajak secara rasmi membuka cawangannya di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri. Cawangan baharu ini bukan sahaja memperluas rangkaian GGR Motor di Johor, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mendapatkan sendiri LION G1, motosikal elektrik yang kini menjadi antara model utama GGR. Menariknya, cawangan ini turut membawa nama selebriti tempatan Ajak Shiro, atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, yang kini menerajui GGR Motor X Ajak sebagai Pengarah Cawangan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, pembukaan cawangan di Johor hadir ketika GGR mencatatkan jualan lebih 10,000 unit LION G1 dalam tempoh sembilan bulan sejak model tersebut dilancarkan.
“Dalam tempoh sembilan bulan, GGR telah berjaya menjual lebih 10,000 unit LION G1. Pencapaian ini mencerminkan penerimaan pengguna terhadap motosikal elektrik serta kepercayaan mereka kepada produk yang kami tawarkan.”
Ketika ini, GGR mempunyai 19 pengedar di seluruh negara, dengan sasaran untuk terus memperluaskan rangkaian tersebut bagi memudahkan pelanggan melihat motosikal, mendapatkan penerangan dan membuat pilihan sebelum membeli. GGR turut bekerjasama dengan beberapa selebriti tempatan menerusi konsep GGR Motor X Ajak, GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan jenama serta mobiliti elektrik kepada kelompok pengguna yang lebih luas. Dengan penerimaan terhadap LION G1 yang semakin meningkat, GGR kini menyasarkan jualan antara 20,000 hingga 30,000 unit.

Pada masa sama, syarikat itu turut mempunyai sasaran lebih agresif untuk memperluaskan rangkaian selepas jualannya. Menurut Muhammad Musaddiq, GGR menyasarkan pembukaan sehingga 50 cawangan baharu di seluruh negara menjelang hujung tahun ini. Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Negeri Sembilan dan Sarawak, selain beberapa lokasi lain yang masih belum mempunyai pengedar EV. Untuk tahun hadapan pula, GGR menyasarkan antara 50 hingga 100 cawangan baharu, termasuk melalui pelantikan pengedar baharu.
Bagi GGR, perkembangan pasaran EV bukan hanya berkaitan dengan menjual motosikal. Sebaliknya, ia turut melibatkan aspek selepas jualan yang dilihat penting untuk memastikan pengguna mendapat sokongan selepas memiliki motosikal elektrik.
“Kalau kita jual motosikal sahaja tanpa ambil kira faktor selepas jualan, jualan dan pasaran EV selepas itu boleh merudum,” kata Muhammad Musaddiq.
Pendekatan itu juga menjadi antara sebab GGR mahu memperbanyakkan lokasi fizikal supaya pengguna mempunyai tempat untuk mendapatkan khidmat dan maklumat berkaitan motosikal mereka. Selain Johor, GGR turut melihat kawasan seperti Shah Alam, Selangor dan Langkawi sebagai antara lokasi berpotensi untuk pembukaan cawangan baharu. Kawasan pelancongan khususnya dilihat sesuai untuk penggunaan motosikal elektrik kerana ia menawarkan kos penggunaan dan penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding motosikal berkuasa enjin pembakaran dalaman. Bagi Ajak pula, penglibatannya dalam GGR Motor X Ajak bukan sekadar membawa nama selebriti, tetapi memberi peluang untuk beliau mendekati masyarakat dan memperkenalkan mobiliti elektrik secara lebih dekat. Menurutnya, orang ramai khususnya penduduk Iskandar Puteri dan kawasan sekitar dialu-alukan untuk hadir ke bilik pameran bagi melihat sendiri LION G1.

“Kami mahu orang ramai selesa datang ke bilik pameran, melihat sendiri motosikal dan bertanya mengenai ciri serta penggunaannya.”
Katanya, penerangan secara bersemuka penting supaya bakal pengguna dapat memahami ciri motosikal elektrik dan menilai sama ada ia sesuai dengan rutin harian mereka. Ajak turut berharap GGR Motor X Ajak dapat menjadi salah satu lokasi rujukan komuniti EV di Johor.
Dari segi spesifikasi, LION G1 menggunakan motor hab berkuasa 3,000 watt dengan angka tork yang dinyatakan sehingga 140Nm. Ia dipadankan dengan bateri 72V 32Ah dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 70km/j. Untuk pasaran Semenanjung Malaysia, LION G1 ditawarkan pada harga atas jalan RM4,454, manakala harga bagi Sabah dan Sarawak ialah RM5,954. Harga tersebut termasuk cukai jalan dan insurans seperti yang dinyatakan oleh GGR.
Pembukaan GGR Motor X Ajak menunjukkan pendekatan GGR untuk membawa motosikal elektrik lebih dekat kepada pengguna melalui rangkaian pengedar fizikal. Daripada sekadar melihat spesifikasi di atas talian, pengguna kini boleh hadir ke bilik pameran, melihat LION G1 secara dekat serta mendapatkan penerangan mengenai penggunaan dan pemilikan motosikal elektrik. Bagi mereka yang berada di sekitar Iskandar Puteri, Skudai, Gelang Patah dan kawasan berdekatan, cawangan ini boleh menjadi salah satu lokasi untuk mengenali LION G1 dengan lebih dekat.

Majlis pelancaran GGR Motor X Ajak berlangsung dari 12 tengah hari hingga 4 petang dan turut disertai komuniti EV Johor. Antara aktiviti yang diadakan termasuk lawatan ke bilik pameran, sidang media, jamuan makan tengah hari, persembahan serta sesi ramah mesra bersama komuniti. Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah menerusi pembelian baju eksklusif GGR Motor X Ajak dan sweatshirt. Lebih menarik, hadiah utama cabutan bertuah tersebut ialah sebuah motosikal LION G1.
Bagi yang ingin melihat sendiri LION G1 atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh berkunjung ke:
GGR Motor X Ajak
No. 21, Jalan Bestari 1/5,
Taman Nusa Bestari,
79150 Iskandar Puteri, Johor.
Telefon: 012-304 8479