Arena automotif rantau ini melakar satu lagi sejarah luar biasa apabila Mercedes-Benz Malaysia secara rasminya memperkenalkan Pusat Servis Mercedes-AMG ONE (Mercedes-AMG ONE Service Hub) yang pertama dan satu-satunya di rantau Asia Tenggara. Terletak di fasiliti Hap Seng Star Bukit Tinggi, penubuhan pusat servis canggih berteraskan piawaian kilang Affalterbach, Jerman ini meletakkan Malaysia dalam peta eksklusif global sebagai pusat rujukan penyelenggaraan hypercar baka Formula 1 yang sangat jarang ditemui di dunia.

Dengan pelaburan bernilai RM2.2 juta, fasiliti khas ini menyertai rangkaian elit global Mercedes-AMG ONE Service Hub yang sebelum ini hanya merangkumi negara Jerman, Switzerland, Timur Tengah (Dubai, Abu Dhabi, Kuwait), dan Jepun. Berganding bahu bersama hab di Jepun, pusat servis di Malaysia kini menjadi nadi strategik bagi menyokong keperluan pemilik hypercar merentasi rantau Asia Pasifik, disokong oleh prasarana logistik dan ketersambungan pelbagai mod pengangkutan bertaraf dunia yang dimiliki oleh Malaysia.

Mercedes-Benz Malaysia menerusi kenyataan rasminya menegaskan bahawa Mercedes-AMG ONE adalah manifestasi mutlak teknologi perlumbaan Formula 1 yang dibawa ke jalan raya sah. Jentera agung ini menggabungkan enjin petrol 1.6-liter V6 turbo bersama empat motor elektrik (sistem hibrid E PERFORMANCE) yang hamburkan kuasa keseluruhan melebihi 1,063 hp dengan had putaran enjin mencecah 11,000 rpm. Diperbuat secara sangat terhad dengan hanya 275 unit sahaja di seluruh dunia, jentera bernilai jutaan ringgit ini menuntut tahap kepakaran teknikal yang jauh melangkaui keupayaan pusat servis konvensional.

Bagi memastikan integriti kejuruteraan hypercar ini terpelihara, pusat servis di Hap Seng Star Bukit Tinggi telah dikejuruteraan secara khusus merangkumi pelbagai aspek teknikal yang ketat:
- Infrastruktur Voltan Tinggi & Keselamatan: Peralatan diagnostik khusus jentera, prosedur keselamatan voltan tinggi yang ketat, serta ruang kerja berkeadaan terkawal (controlled vehicle storage).
- Teknisi Bertauliah Affalterbach: Barisan juruteknik tempatan telah melalui latihan ketat dan ditauliahkan secara rasmi oleh Mercedes-AMG di Jerman untuk mengendalikan proses diagnostik serta penyelenggaraan kompleks AMG ONE.
- Koordinasi Terus Pakar AMG: Kerjasama teknikal masa nyata secara langsung bersama pakar berpangkalan di ibu pejabat Mercedes-AMG.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia, Martin Schulz, kehadiran pusat servis eksklusif ini membuktikan keyakinan penuh pihak prinsipal terhadap kebolehan dan bakat tenaga kerja tempatan. Lokasi geografi Malaysia yang strategik turut memperkukuh kecekapan pengurusan alat ganti memandangkan fasiliti ini mempunyai sinergi langsung dengan hab logistik alat ganti Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific di Malaysia, sekali gus meminimumkan masa menunggu (downtime) bagi pemilik.

Selain itu, ekosistem perkhidmatan bernilai tinggi ini turut diperkasakan dengan pelbagai keistimewaan sokongan pelanggan peringkat tertinggi:
- Doktor Terbang Teknikal (Flying Doctors): Pakar teknikal bergerak yang memberikan respon pantas di peringkat serantau.
- Pegawai Perhubungan Antarabangsa: Pegawai khusus yang memastikan komunikasi telus buat pemilik dari dalam dan luar negara.
- Ekosistem Digital Hujung-Ke-Hujung (End-to-End): Sistem pelaporan diagnostik masa nyata secara digital yang telus untuk pengalaman pemilikan tahap maksimum.


