Mercedes-AMG membawa dua wajah prestasi berbeza ke Malaysia menerusi pengenalan Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dan Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé. Kalau GT 63 PRO masih mempertahankan resipi klasik AMG menerusi enjin V8 biturbo 4.0 liter, GT 63 4-Door pula menjadi gambaran masa depan prestasi AMG dengan penggunaan seni bina elektrik AMG.EA. Dan angka yang dibawa kedua-duanya memang bukan biasa-biasa. GT 63 PRO menghasilkan 612 hp dan 850 Nm, manakala GT 63 4-Door yang serba elektrik menawarkan sehingga 1,169 hp dan 2,000 Nm. Dua pendekatan berbeza, tetapi satu matlamat yang sama diman untuk menghasilkan sebuah AMG yang benar-benar pantas.
GT 63 PRO: V8 4.0 liter dengan 612 hp
Menjadi perhatian utama ialah Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé, sebuah model yang lebih berorientasikan prestasi litar tetapi masih mengekalkan enjin pembakaran dalaman.
Di bawah hudnya terdapat enjin V8 biturbo 4.0 liter yang menghasilkan:
- 612 hp (450 kW)
- 850 Nm
- 0-100 km/j: 3.2 saat
- 0-200 km/j: 10.9 saat
- Kelajuan maksimum: 317 km/j
Berbanding AMG GT 63 biasa, versi PRO mendapat tambahan 27 hp dan 50 Nm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G kepada sistem pacuan semua roda berubah sepenuhnya AMG Performance 4MATIC+. Namun, Mercedes-AMG tidak hanya menaikkan kuasa enjin dan berhenti di situ.
Dua radiator tambahan untuk kegunaan berintensiti tinggi
Bagi memastikan GT 63 PRO mampu mengekalkan prestasi ketika dipandu secara agresif, sistem penyejukan turut dinaik taraf. Dua radiator tambahan ditempatkan di bahagian kiri dan kanan ruang roda hadapan. Litar penyejukan suhu tinggi dan rendah juga diperkukuhkan bagi memastikan sistem rangkaian kuasa dapat beroperasi pada suhu optimum ketika menerima beban tinggi. Malah, sistem penyejukan untuk pembezaan gandar hadapan dan belakang serta transfer case 4MATIC+ turut menggunakan pam air elektrik. Pendek kata, GT 63 PRO bukan sekadar GT 63 yang diberikan lebih kuasa. Keseluruhan pakejnya turut disediakan untuk pemanduan berprestasi tinggi.
Aero lebih agresif, downforce lebih tinggi
Bahagian aerodinamik juga menerima perhatian serius. GT 63 PRO mendapat apron hadapan baharu dengan deflektor udara tambahan daripada gentian karbon di sekitar salur udara sisi yang lebih besar. Ia turut dilengkapi profil aerodinamik aktif pada bahagian bawah badan, sistem AIRPANEL serta pakej aerodinamik dengan sayap belakang tetap. Hasilnya, daya angkat pada gandar hadapan dikurangkan lebih 30 kg. Pada masa sama, reka bentuk aerodinamik bahagian bawah badan dan sayap belakang menghasilkan tambahan sekitar 15 kg downforce pada gandar belakang. Kesan akhirnya ialah kereta sepatutnya menawarkan tindak balas stereng yang lebih tepat dan kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi.
Brek seramik 420 mm
Untuk menghentikan kuasa 612 hp tersebut, GT 63 PRO menggunakan sistem AMG High-Performance Ceramic Composite Brake. Ia menggunakan angkup enam piston di hadapan dan satu piston di belakang, bersama cakera hadapan berukuran 420 mm. Selain menawarkan kuasa membrek yang tinggi, sistem brek ini turut membantu mengurangkan berat unsprung dan meningkatkan ketahanan terhadap brake fade, terutama ketika membrek berulang kali di litar.
Nampak macam kereta yang memang nak ke litar
Secara visual, GT 63 PRO memang tidak cuba menyembunyikan identitinya. Ia hadir dengan rim forged AMG cross-spoke 21 inci, angkup brek hitam serta AMG Night Package II. Pakej AMG Exterior Carbon Fibre pula menambah elemen gentian karbon pada splitter hadapan, side sill, diffuser dan sayap belakang.
Masuk ke kabin, tema prestasi diteruskan dengan:
- Tempat duduk AMG Performance
- Balutan Nappa/MICROCUT
- Stereng AMG Performance
- Kemasan gentian karbon
- Tali pinggang keselamatan berwarna kuning
Sistem MBUX pula menggunakan paparan pemandu 12.3 inci dan skrin tengah 11.9 inci, selain Head-Up Display dan navigasi MBUX Augmented Reality. Untuk peminat litar, sistem AMG TRACK PACE boleh merekod serta menganalisis masa pusingan, sektor dan data pecutan.
Hanya 200 unit untuk Motorsport Collectors Edition
Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih eksklusif, Mercedes-AMG turut memperkenalkan GT 63 PRO 4MATIC+ Motorsport Collectors Edition. Hanya 200 unit akan dihasilkan untuk pasaran global. Model edisi khas ini menggunakan kemasan Obsidian Black bersama corak Mercedes-Benz Star Pattern dan elemen warna PETRONAS.
Ia turut menerima:
- Rim forged AMG 21 inci dengan perincian PETRONAS
- Angkup brek sepadan
- AMG Carbon Fibre Package
- AMG Night Package
- AMG Aerodynamics Package
- Jahitan kontras PETRONAS
- Lencana edisi khas
- Sistem audio Burmester High-End 3D Surround Sound
Untuk pasaran Semenanjung Malaysia, harga anggaran ialah:
GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé – RM2,088,888
GT 63 PRO Motorsport Collectors Edition – RM2,588,888
Kemudian muncul pula AMG dengan 1,169 hp
Kalau GT 63 PRO adalah penghormatan kepada era V8, GT 63 4-Door Coupé pula menunjukkan sejauh mana Mercedes-AMG mahu membawa prestasi elektrik. Model ini dibangunkan menggunakan seni bina berprestasi tinggi AMG.EA dan menggunakan tiga motor elektrik axial-flux. Output maksimum yang ditawarkan 860 kW atau 1,169 hp. Tork maksimum pula mencecah 2,000 Nm. Dengan angka sebegitu, GT 63 4-Door mampu melakukan: 0-100 km/j: 2.4 saat dengan Kelajuan maksimum: 260 km/j Untuk sebuah kereta elektrik berprestasi tinggi, angka tersebut memang cukup mengagumkan.
Bateri 106 kWh, 800V dan pengecasan 350 kW
Kuasa elektrik tersebut datang daripada bateri berkapasiti boleh guna 106 kWh dengan seni bina elektrik 800 volt. Mercedes-AMG menyatakan GT 63 4-Door mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 697 km berdasarkan WLTP. Untuk pengecasan pula, sistem AMG Performance Charging menyokong pengecasan DC sehingga 350 kW. Pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus mengambil masa sekitar 16 minit, berdasarkan angka yang dinyatakan Mercedes-AMG.
EV yang cuba kekalkan bunyi dan emosi V8
Satu perkara menarik pada GT 63 4-Door ialah Mercedes-AMG tidak mahu pengalaman pemanduan EV terasa terlalu senyap atau steril. Melalui sistem AMGFORCE S+, kereta ini menggunakan lebih daripada 1,600 fail bunyi yang dicampurkan secara masa nyata mengikut keadaan pemanduan. Bunyi tersebut boleh berubah mengikut pecutan, pertukaran gear dan keadaan pemanduan tertentu. Matlamatnya adalah untuk memberikan pengalaman bunyi dan tindak balas yang diinspirasikan daripada karakter enjin V8 walaupun kuasa datang sepenuhnya daripada motor elektrik.
Ada kawalan macam kereta lumba
GT 63 4-Door turut dilengkapi sistem AMG RACE ENGINEER, yang menyatukan kawalan pelbagai sistem rangkaian kuasa dan dinamik pemanduan. Tiga kawalan putar pada konsol tengah membolehkan pemandu melaraskan:
- Response Control
- Agility Control
- Traction Control
Traction Control pula menawarkan sehingga sembilan tahap pelarasan dalam mod pemanduan tertentu. Sistem Agility Control membolehkan karakter pengendalian diubah daripada lebih stabil kepada karakter yang lebih dinamik.
Roda belakang boleh membelok sehingga 6 darjah
Seperti beberapa model AMG berprestasi tinggi moden, GT 63 4-Door turut menggunakan sistem rear-axle steering. Roda belakang boleh membelok sehingga 6 darjah. Pada kelajuan sehingga 80 km/j, roda belakang membelok berlawanan arah dengan roda hadapan bagi membantu meningkatkan ketangkasan. Pada kelajuan lebih tinggi, ia membelok sehala dengan roda hadapan untuk membantu meningkatkan kestabilan.
Fastback dengan aerodinamik aktif
Dari segi reka bentuk, GT 63 4-Door membawa bentuk fastback dengan hud hadapan panjang, badan rendah dan bahagian belakang yang lebar. Mercedes-AMG turut melengkapkannya dengan sistem aerodinamik aktif AEROKINETICS. Antaranya termasuk diffuser belakang aktif, elemen Venturi Flow di bahagian bawah badan serta spoiler belakang yang boleh dilaraskan mengikut keadaan pemanduan. Elemen Venturi Flow membantu mengoptimumkan aliran udara di bawah badan pada kelajuan tertentu bagi menghasilkan tambahan downforce.
Kabin digital dan penuh teknologi
Di dalam, GT 63 4-Door menggunakan konsep kabin berorientasikan pemandu.
Ia dilengkapi:
- Paparan instrumen 10.2 inci
- Skrin multimedia 14 inci
- Skrin penumpang hadapan 14 inci
- Kamera 360°
- Blind Spot Assist
- DISTRONIC
- PARKTRONIC
- GUARD 360°
Untuk pasaran Malaysia, model ini disenaraikan dengan harga anggaran bermula RM1.29 juta bagi Semenanjung Malaysia.