Syarikat pengeluar kenderaan kompak negara, Perodua, meneruskan langkah agresif dalam memperkukuh kehadiran jenamanya di peringkat antarabangsa apabila secara rasmi mengeksport model terbaharu, Perodua Traz, bersama MPV terlarisnya, Perodua Alza, ke pasaran Sri Lanka. Langkah ini sekali gus menguatkan lagi kedudukan Sri Lanka sebagai antara pasaran eksport terbesar dan paling penting buat Perodua, yang menyaksikan angka jualan kumulatif melebihi 20,000 unit sejak syarikat itu mula bertapak di sana pada tahun 1997.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menegaskan bahawa eksport kenderaan siap dipasang sepenuhnya (CBU) kini merangkumi enam buah negara utama iaitu Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, Papua New Guinea, dan Sri Lanka. Beliau turut memaklumkan bahawa Perodua merancang untuk memperluas perniagaan eksport kenderaan terpakai (Pre-Owned Vehicles), di mana pasaran tersebut telah mula dikembangkan ke Timor Leste pada tahun ini.
Sempena kemasukan rasmi ke pasaran Sri Lanka, Perodua menawarkan harga pengenalan khas buat 50 pelanggan terawal model Perodua Traz pada nilai Rs. 19,950,000 (sekitar RM243,090) bagi varian bersama aksesori tambahan, dan Rs. 19,200,000 (sekitar RM233,957.23) untuk varian tanpa aksesori. Sementara itu, model MPV serba boleh Perodua Alza ditawarkan pada harga Rs. 19,950,000 (sekitar RM243,090), di mana kesemua harga yang dinyatakan adalah termasuk cukai tempatan.

Perkembangan positif ini turut disambut baik oleh pengedar rasmi tempatan, United Motors Lanka PLC. Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Chanaka Yatawara, mendedahkan bahawa syarikatnya telah berjaya menjual hampir 3,000 unit kenderaan Perodua sejak sekatan import kenderaan di Sri Lanka ditarik balik pada tahun 2025. Beliau yakin gabungan keupayaan pengeluaran Perodua bersama rangkaian jualan dan servis United Motors yang kukuh bakal menjadikan Traz dan Alza pilihan utama keluarga serta pemilik perniagaan di sana.
Untuk rekod, Perodua Traz yang mula diperkenalkan pada Disember 2025 dibangunkan menerusi falsafah ‘Engineered Simplicity’ bagi memenuhi keperluan pemandu harian. Manakala Perodua Alza yang dilancarkan pada 2022 terus membuktikan popularitinya apabila merekodkan pendaftaran sebanyak 19,504 unit di Malaysia sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini mengikut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA).