Volvo Car Malaysia secara rasmi melancarkan evolusi terbaharu Volvo EX90, SUV elektrik tujuh tempat duduk yang kini hadir dengan peningkatan besar dari aspek sistem elektrifikasi, kuasa pengkomputeran serta teknologi keselamatan. Diposisikan sebagai SUV elektrik utama Volvo, EX90 evolusi baharu ini menampilkan seni bina elektrik 800-volt, sistem pacuan dua motor dengan pacuan semua roda (AWD), serta kuasa maksimum sehingga 680 hp dan 870 Nm.

Lebih menarik, Volvo EX90 kini ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM428,888, tidak termasuk insurans dan endosmen sewa beli. Bagi 100 pembeli terawal, Volvo turut menawarkan rebat tunai RM25,000 bersama sebuah Volvo Wallbox secara percuma.
Antara perubahan paling ketara pada EX90 terbaharu ialah penggunaan seni bina elektrik 800-volt. Menurut Volvo, sistem ini bukan sahaja membantu mengurangkan berat serta mengoptimumkan pengurusan haba ketika pengecasan, malah mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tembaga. Digandingkan dengan sistem twin motor AWD, EX90 menghasilkan sehingga 680 hp dan 870 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.2 saat.

Tenaga pula dibekalkan oleh bateri berkapasiti 106 kWh, dengan jarak pemanduan elektrik sehingga 617 km mengikut kitaran WLTP. Bagi pengecasan pantas, sistem 800-volt tersebut menyokong pengecasan DC sehingga 350 kW, dengan masa pengecasan 10 hingga 80 peratus sekitar 22 minit dalam keadaan yang sesuai.
Volvo EX90 turut meneruskan pendekatan Volvo terhadap kenderaan yang dipacu perisian. SUV ini menggunakan sistem pengkomputeran teras berasaskan NVIDIA DRIVE AGX Orin, yang menguruskan pelbagai fungsi termasuk sistem keselamatan aktif, pemantauan penderia dan pengurusan bateri. Sistem tersebut disokong pula oleh Superset technology stack Volvo, membolehkan pelbagai fungsi kenderaan menerima kemas kini secara over-the-air (OTA).

Ini bermakna EX90 boleh menerima peningkatan terhadap sistem infotainmen, pengurusan bateri, ciri keselamatan serta pengalaman pemanduan dari semasa ke semasa tanpa memerlukan perubahan perkakasan secara konvensional.
Seperti model Volvo lain, aspek keselamatan menjadi antara fokus utama EX90.Model ini dilengkapi Safe Space Technology, yang menggabungkan radar, kamera dan penderia ultrasonik untuk memantau persekitaran kenderaan secara masa nyata. Di dalam kabin pula, dua penderia inframerah membentuk sistem Driver Understanding System, yang direka untuk mengenal pasti tahap perhatian pemandu dan mengesan tanda gangguan atau kealpaan. EX90 turut menggunakan Occupant Sensing System berasaskan radar dalaman yang cukup sensitif untuk mengesan pergerakan amat kecil dalam kabin termasuk pergerakan berkaitan pernafasan bayi yang sedang tidur.

Bagi bantuan pemanduan, SUV ini turut mendapat Pilot Assist generasi baharu serta Park Pilot Assist, selain fungsi keselamatan dan pencegahan pelanggaran sedia ada. Dari segi reka bentuk, EX90 mengekalkan identiti minimalis Scandinavia Volvo dengan permukaan badan yang kemas dan profil aerodinamik. Reka bentuk kaca rata serta bentuk hadapan dan belakang yang melengkung bukan sekadar memberikan penampilan moden, malah membantu mengoptimumkan aliran udara dan kecekapan keseluruhan kenderaan. Ruang kabin pula menampilkan pendekatan yang lebih mewah dan tenang, dengan bumbung panoramik elektrokromik yang membolehkan cahaya serta suhu ruang kabin dilaraskan. Kemasan dalaman menggunakan kulit Nappa berliang bersama elemen kayu semula jadi, dengan dua pilihan tema iaitu:
-Nappa Charcoal + Light Ash
-Nappa Cardamom + Brown Ash
Untuk sistem hiburan, EX90 dilengkapi sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity, manakala sistem infotainmen berasaskan Google menyediakan akses kepada Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store. Paparan maklumat pula disediakan menerusi tiga skrin utama dimana panel instrumen 9-inci, skrin tengah 14.5-inci dan paparan head-up display.Menariknya, Volvo EX90 ini dipasang secara tempatan di Shah Alam, meneruskan sejarah panjang Volvo dalam aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia.

Untuk pasaran tempatan, EX90 ditawarkan dalam lima pilihan warna luaran:
-Onyx Black
-Sand Dune
-Crystal White
-Vapour Grey
-Mulberry Red
Tempahan kini dibuka melalui pengedar sah Volvo Car Malaysia atau secara dalam talian. Dalam masa sama, Volvo Car Malaysia turut mengumumkan kemas kini bagi Volvo ES90 tahun model 2027. Sedan elektrik tersebut kini menerima dua pilihan warna baharu iaitu Mulberry dan Aurora Silver, selain pilihan kemasan dalaman premium Cardamom.
Ia turut mendapat rim 21-inci dengan kemasan Glossy-Silver serta sokongan Android Auto tanpa wayar.
Tempahan awal ES90 MY2027 dibuka mulai September dengan pelanggan berpeluang menikmati rebat tunai sehingga RM17,600.
Ringkasan spesifikasi Volvo EX90
| Perkara | Volvo EX90 Evolusi |
| Pacuan | Twin Motor AWD |
| Seni bina elektrik | 800V |
| Kuasa | 680 hp |
| Tork | 870 Nm |
| 0-100 km/j | 4.2 saat |
| Bateri | 106 kWh |
| Jarak WLTP | Sehingga 617 km |
| Pengecasan DC Sehingga 350 kW | 10-80% Sekitar 22 minit |
| Harga | Dari RM428,888 |
| Tempat duduk | 7 |
Secara keseluruhannya, Volvo EX90 evolusi baharu membawa pendekatan yang lebih berorientasikan teknologi kepada segmen SUV elektrik premium yang bukan sekadar melalui peningkatan kuasa dan sistem pengecasan, tetapi juga menerusi keupayaan pengkomputeran serta sistem keselamatan yang direka untuk terus berkembang sepanjang hayat kenderaan. Dengan kombinasi
680 hp, 870 Nm, jarak sehingga 617 km, pengecasan 350 kW dan tujuh tempat duduk
, EX90 kini tampil sebagai antara model terpenting Volvo dalam peralihan jenama itu ke arah mobiliti elektrik sepenuhnya.