BYD Sime Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, secara rasminya melancarkan model SUV elektrik flagship yang ditambah baik, 2026 BYD SEALION 7. Pengenalan barisan model terbaharu ini memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai SUV Elektrik Segmen-D No. 1 di Malaysia bagi tahun 2025, selepas berjaya merekodkan serahan melebihi 6,300 unit di seluruh negara. Menerusi tema “Pinnacle of Performance, Redefined FURTHER for Tomorrow”, BYD SEALION 7 kini tampil dengan penawaran varian baharu Dynamic untuk aksesibiliti yang lebih luas, di samping peningkatan kapasiti bateri dan kelajuan pengecasan bagi varian Premium serta Performance.

​Kehadiran varian baharu Dynamic pada harga RM163,800 membuka ruang buat pemandu bandar dan pencinta gaya hidup moden memiliki SUV elektrik flagship ini pada harga yang lebih mesra poket. Ia dikuasakan oleh sistem pacuan roda belakang (RWD) dengan hantaran kuasa 170 kW (228 hp) dan tork 380 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 7.3 saat serta jarak pemanduan sejauh 520 km (NEDC). Khas sempena pelancaran, 300 pembeli terawal varian Dynamic boleh menikmati harga istimewa RM159,800 (selepas penjimatan RM4,000) atau memilih pilihan unit pengecas Wallbox percuma.

​Bagi varian Premium yang dijual pada harga RM188,800, BYD telah menaik taraf pek Bateri Blade LFP kepada kapasiti 91.39 kWh berbanding 82.56 kWh sebelum ini. Hasilnya, jarak gerak maksimum kini meningkat secara signifikan daripada 567 km kepada 650 km (NEDC). Peningkatan ini turut digandingkan dengan keupayaan pengecasan pantas DC yang dinaik taraf daripada 150 kW kepada 230 kW, membolehkan tempoh hentian pengecasan dipendekkan dengan ketara semasa pemanduan jarak jauh. Varian ini turut memperkenalkan pilihan warna luaran baharu yang sangat menawan iaitu Ultraviolet.

​Sementara itu, varian tertinggi Performance AWD yang bernilai RM203,800 kekal memfokuskan prestasi pemanduan dinamik tanpa mengabaikan aspek praktikaliti harian. Dijana oleh dwi-motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 390 kW (523 hp) dan tork gergasi 690 Nm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat. Varian ini turut dipadankan dengan Bateri Blade 91.39 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 600 km (NEDC), pengecasan DC 230 kW, angkup brek berwarna merah, serta rim aloi bersaiz 20-inci (245/45 R20).

​Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, menyatakan bahawa penambahbaikan pada barisan model 2026 ini memberikan fleksibiliti lebih luas buat pelanggan tempatan untuk memilih EV yang bertepatan dengan gaya hidup mereka. Senada dengan itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew, menegaskan komitmen jenama tersebut dalam memberikan pengalaman pemilikan terbaik menerusi rangkaian 44 pusat jualan, 28 fasiliti servis, 12 pusat mengecat, serta pengenalan program BYD Certified Pre-Owned.

​Kesemua varian 2026 BYD SEALION 7 dibangunkan atas e-Platform 3.0 dan dilengkapi pakej keselamatan termaju ADAS, 9 beg udara, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L). Pembeli disokong dengan jaminan kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km, jaminan Bateri Blade selama 8 tahun atau 160,000 km, dan jaminan unit pacuan (Drive Unit) selama 8 tahun atau 160,000 km. Orang ramai boleh menyaksikan sendiri model ini di jerayawara BEYOND YOUR DRIVE yang berlangsung di 1 Utama Shopping Centre dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026, di mana tempahan sepanjang acara berlangsung akan menerima ganjaran Kredit Pengecasan RM200. 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *