BMW Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu, model pertama daripada portfolio Neue Klasse yang memasuki pasaran tempatan sekali gus membuka era baharu automotif premium di Malaysia. Model yang telah dinobatkan sebagai World Car of the Year 2026 dan World Electric Vehicle of the Year 2026 ini ditawarkan dengan keistimewaan penangguhan bayaran ansuran selama tiga bulan sebelum ansuran pertama bermula. Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, menyifatkan pelancaran ini sebagai transformasi terbesar BMW sejak era 1960-an, di mana ia menetapkan penanda aras baharu dari segi ketepatan pemanduan, kecerdasan buatan (AI), serta ekonomi kitaran. 

​Sebagai model sulung berasaskan seni bina 800 voltan dengan teknologi BMW eDrive Generasi Keenam, SUV elektrik ini dijana oleh pek bateri 108.7 kWh jenis sel-ke-pek yang disepadukan terus ke dalam struktur lantai kenderaan. Dua motor elektrik pada setiap gandar menghasilkan kuasa gabungan 345 kW (469 hp) dan tork 645 Nm menerusi sistem pacuan semua roda BMW xDrive. Kehebatannya dipacu oleh unit kawalan Heart of Joy yang bertindak balas 10 kali lebih pantas berbanding sistem konvensional, selain menyumbang kepada pemulihan tenaga brek sehingga 98 peratus bagi pemanduan yang sangat lancar. Menerusi kecekapan tenaga serendah 15.1 kWh/100 km, model ini menawarkan jarak pemanduan luar biasa sehingga 805 km (WLTP) serta menyokong pengecasan pantas DC 400 kW yang mampu menambah jarak 372 km dalam tempoh 10 minit sahaja. 

​Di dalam kabin, BMW iX3 Baharu memperkenalkan konsep BMW Panoramic iDrive yang disokong oleh BMW Panoramic Vision di mana paparan unjuran bersaiz 43.3 inci yang merentasi cermin hadapan dari tiang A ke tiang A. Ruang kokpit turut dilengkapi BMW 3D Head-Up Display, Paparan Tengah 17.9 inci dengan BMW Operating System X, serta BMW Intelligent Personal Assistant berkuasa AI yang berupaya mempelajari rutin pemandu. Rekaan luaran tampil monolitik dengan kidney grille menegak bersama pencahayaan BMW Iconic Glow, rim aloi 22 inci M dwiwarna, serta penutup port pengecasan pintar yang terbuka secara automatik menerusi fungsi pengecam lokasi AI dan BMW Digital Key Plus. 

​Kabin dalaman yang bertemakan M Interior Design dalam kemasan hitam menawarkan tempat duduk M Sport dengan fungsi urutan 7 program, bumbung suria panoramik kaca Climate Comfort, sistem audio Harman Kardon 13 pembesar suara (430W), serta kapasiti kargo sehingga 1,750 liter berserta ruang simpanan bonet hadapan (frunk) 58 liter. Aspek keselamatan dan bantuan pemanduan diperkasakan oleh Bantuan Pemanduan Plus, Bantuan Parkir Profesional dengan kawalan jarak jauh sehingga 6 meter, serta sokongan BMW Proactive Care dan pakej jaminan BSRI sehingga 6 tahun tanpa had perbatuan bagi model BEV. BMW iX3 Baharu ditawarkan dalam enam pilihan warna luaran termasuk dua warna baharu, Ocean Wave Blue dan Polarised Grey. 

​Keunggulannya dari segi kejuruteraan dan kemudahan pemilikan turut diterjemahkan menerusi perincian sistem pengecasan berteknologi tinggi yang direka untuk kecekapan optimum pemandu. Apabila laluan navigasi diaktifkan, kenderaan ini secara pintar akan mengawal suhu bateri voltan tinggi lebih awal sepanjang perjalanan supaya proses pengecasan pantas DC dapat bermula pada kadar maksimum sejurus tiba di lokasi pengecasan. Ditambah pula dengan penutup port pengecasan pintar berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) yang membuka dan menutup secara automatik berdasarkan pengecaman geokod dan kehadiran BMW Digital Key Plus, pemilik tidak perlu lagi keluar mengendalikan penutup soket secara manual terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu. 

​Sistem hibrid maklumat dan kawalan kabin menerusi BMW Panoramic iDrive pula memastikan kawalan kenderaan kekal berpusat tanpa mengganggu tumpuan pemanduan harian. Rekaan stereng M pelbagai fungsi dengan bahagian atas dan bawah yang diratakan membolehkan pandangan pemandu ke atas paparan BMW Panoramic Vision bersaiz 43.3 inci kekal bebas tanpa sebarang halangan visual. Kawalan berunsurkan Shy Tech pada jejari stereng turut memberikan respons haptik yang membolehkan fungsi sistem bantuan pemandu, media, dan komunikasi diakses secara intuitif tanpa perlu mengalihkan pandangan dari jalan raya, sekali gus menetapkan standard baharu bagi aspek keselamatan pasif dan aktif dalam kelasnya. 

​Bagi melengkapkan ekosistem pemilikan kenderaan elektrik premium yang serba lengkap, BMW Group Malaysia turut menyepadukan perkhidmatan BMW Proactive Care yang memantau kesihatan kenderaan secara masa nyata (real-time). Sekiranya sebarang potensi kerosakan atau keperluan penyelenggaraan dikesan oleh sensor terbina dalam, notifikasi automatik akan dihantar terus ke aplikasi My BMW atau sistem iDrive pemilik untuk tindakan pantas sebelum isu menjadi serius. Pengalaman pemilikan tanpa sebarang kebimbangan ini turut disokong oleh pakej jaminan BSRI yang komprehensif, perlindungan bateri voltan tinggi sehingga 8 tahun, serta bantuan kecemasan 24/7 menerusi BMW Roadside Assistance yang merangkumi perkhidmatan tunda, kenderaan ganti, dan penginapan hotel sekiranya berlaku kejadian tidak dijangka. 

Harga jualan untuk BMW iX3 50 x DRIVE M Sport Pro sekitar Rm 378,800 dan jika dilengkapi dengan pakej servis dan baikpulih BMW sekitar Rm 399,800

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *