Honda Malaysia mengumumkan satu panggilan balik produk melibatkan 87,490 unit kenderaan Honda bagi tujuan penggantian pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga.

Terdapat beberapa model tahun keluaran yang terlibat dengan panggilan balik seperti :-

– Jazz (2015-2020)

– Jazz Hybrid (2018)

– City (2014- 2019)

– City Hybrid (2018-2019)

– Civic (2017-2018)

– Accord (2013-2017)

– BR-V (2017-2018)

– HR-V (2015-2018)

– CR-V (2018-2020)

– Odyssey (2017-2019)

Model-model yang tersenarai seperti di atas adalah di panggil semula oleh pihak Honda Malaysia untuk penggantian Impeller Pam Bahan Api.

Impeller pam bahan api mungkin mengembang selepas rendaman bahan api yang berpanjangan, yang boleh menyebabkan kenderaan tidak dapat dihidupkan atau enjin mati semasa memandu. Sebanyak 84,073 unit model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey terlibat.

Untuk model seperti disenaraikan di bawah ini juga di panggil semula untuk penggantian Pam Bahan Api Tekanan Tinggi. Pam bahan api tekanan tinggi mungkin retak akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan yang berlebihan, yang berkemungkinan menyebabkan kebocoran bahan api atau bau bahan api semasa memandu atau semasa enjin hidup. Sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V terlibat. Butiran model yang terjejas seperti dalam senarai di bawah.

– Civic (2023-2024)

– CR-V (2024)

Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa tidak terlibat dalam panggilan balik ini.

Honda Malaysia percaya bahawa panggilan balik ini adalah penting kerana keselamatan pelanggan merupakan keutamaan utama Honda Malaysia. Honda Malaysia akan terus mengambil langkah proaktif serta mengekalkan ketelusan dan kawalan ketat bagi memastikan keselamatan pelanggan. Oleh itu, Honda Malaysia melanjutkan panggilan balik ini kepada model yang telah tamat tempoh waranti.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang akan mengandungi maklumat terperinci berkenaan panggilan balik ini. Pelanggan juga boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terjejas melalui aplikasi HondaTouch. Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda bagi membuat temujanji setelah menerima pemberitahuan, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Penggantian pam bahan api yang terjejas dan pam bahan api tekanan tinggi adalah percuma, dan semua kos berkaitan aktiviti penggantian ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok alat ganti akan disediakan secara berperingkat.

Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan di Malaysia akibat isu ini.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka berkenaan panggilan balik produk melalui aplikasi HondaTouch, menghubungi nombor Toll-Free Honda Malaysia 1-800-88-2020, atau melayari laman web www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my untuk menyemak status kenderaan mereka.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *