Mercedes-Benz Malaysia harini telah melancarkan dua model prestasi tinggi terbaharunya ke pasaran Malaysia. Dua model prestasi tinggi yang diperkenalkan adalah Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé dan juga Mercedes-AMG SL 63 S E Performance yang memiliki aspirasi daripada litar lumba dan disesuaikan untuk kegunaan jalan raya.

Kedua-dua model AMG ini didatangkan dengan enjin V8 BiTurbo dengan kapasiti 4.0 Liter AMG yang praktikal digunakan harian dan semestinya untuk model Mercedes-AMG SL 63 S E Performance hadir dengan teknologi plug in hibrid.

Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé sebuah kereta sports mewah generasi kedua yang membawa pengalaman pemanduan ke tahap luar biasa. Ia menggabungkan kuasa enjin V8 biturbo 4.0L dengan reka bentuk yang garang dan teknologi canggih. Dengan 585 kuasa kuda dan pecutan 0-100 km/j hanya dalam 3.2 saat, kereta ini bukan sekadar laju, tetapi juga stabil dan mudah dikawal. Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé dilengkapi sistem aerodinamik aktif, suspensi pintar AMG, dan pacuan semua roda 4MATIC+ yang memberi cengkaman dan kawalan maksimum tidak kira cuaca atau keadaan jalan.

Bahagian dalaman Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé menampilkan kemewahan dan teknologi, ini dengan kehadiran skrin sentuh besar 11.9 inci, sistem infotainmen MBUX pintar, dan tempat duduk sport AMG yang menyokong penuh pemanduan agresif atau santai. Reka bentuk digital yang moden serta paparan head-up 3D menjadikan segala maklumat penting mudah diakses ketika memandu.

Ciri-ciri seperti stereng belakang aktif turut hadir pada Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé ini, sistem brek prestasi tinggi, dan mod pemanduan yang boleh dipilih (termasuk mod “RACE”) membolehkan pemandu menyesuaikan pengalaman memandu mengikut citarasa masing-masing.

Untuk aspek keselamatan semestinya Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé memiliki pelbagai sistem bantuan pemandu pintar dan sambungan digital Mercedes ME yang menjadikan kereta ini bukan saja pintar, tetapi juga lebih selamat dan berhubung dengan dunia luar.

Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE merupakan roadster hibrid paling berkuasa dalam sejarah Mercedes-Benz. Model ini menggabungkan enjin V8 biturbo 4.0 liter buatan tangan dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa luar biasa sebanyak 816 hp dan tork 1,420 Nm. Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 2.9 saat, dengan kelajuan maksimum 317 km/j.

Rekaan luaran model ini menampilkan rupa agresif dengan bonet panjang dan garisan aerodinamik, lengkap dengan pilihan pakej seperti AMG Night Package (hitam berkilat), AMG Aerodynamics Package, dan pakej gentian karbon. Model ini juga masih mengekalkan bumbung lembut (soft top) klasik dan tempat duduk dua tambah dua yang sesuai untuk kegunaan harian.

Ruang dalaman Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE ini memilik tempat duduk AMG Performance boleh laras elektrik yang menawarkan keselesaan tinggi, termasuk urutan dan sistem pencahayaan yang memberi suasana santai. Terdapat pelbagai pilihan kulit premium seperti Nappa dan MICROCUT microfibre turut ditawarkan.

Gabungan enjin petrol di hadapan dan motor elektrik di belakang pada Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE ini mampu memberikan pecutan luar biasa serta tindak balas segera. Motor elektrik berkuasa 204 hp disambungkan kepada transmisi dua kelajuan dan sistem pacuan empat roda AMG Performance 4MATIC+.

Baterinya dibangunkan berasaskan teknologi Formula 1 dan mempunyai kapasiti 6.1 kWh. Walaupun jarak elektrik sepenuhnya hanya sekitar 13 km, ia cukup untuk kegunaan bandar atau sebagai sokongan tambahan kuasa.

Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE ini menawarkan pengalaman Memandu Yang Boleh Disesuaikan dengan 8 mod pemanduan termasuk “Electric”, “Comfort”, “Sport+”, dan “RACE” yang boleh diakses dari stereng atau konsol tengah. Tahap penjanaan semula tenaga (recuperation) juga boleh diubah dalam 4 peringkat, termasuk fungsi “satu pedal” di mana kereta boleh diperlahankan hanya dengan melepaskan pedal minyak.

Sistem aerodinamik aktif turut dilengkapkan pada Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE ini dan mampu menyesuaikan bentuk spoiler mengikut kelajuan dan keadaan jalan. Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE turut dilengkapkan dengan sistem stereng gandar belakang aktif, yang membantu kestabilan pada kelajuan tinggi dan menjadikan kereta lebih lincah di kelajuan rendah.

Walaupun Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE ini merupakan model roadster hibrid, ia juga turut memiliki sistem brek karbon seramik AMG yang mampu memberi cengkaman hebat dan tahan lama, sesuai dengan prestasi ekstrem kereta ini.

Harga jualan untuk model prestasi AMG ini adalah :

Mercedes-AMG SL 63 S E PERFORMANCE RM 2,168,888

Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé RM 1,882,888

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *