AMI Suzuki Motorsport (ASM) boleh berbangga dengan pencapaian tempat kelima diraih Adam Norrodin di Race 1 kategori ASB1000 di Kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) Pusingan Kedua yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang walaupun beraksi sebagai sebuah pasukan Wildcard.

Adam yang memulakan perlumbaan di petak ke sembilan berjaya menempatkan diri di kelompok hadapan bersama pelumba-pelumba lain seperti Hafizh Syahrin dari pasukan JDT Racing Team serta dua pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia iaitu Azroy Hakeem dan Zaqhwan Zaidi.
Jentera Suzuki GSXR1000R dilihat mampu untuk bersaing dengan jentera-jentera pasukan lain seperti Ducati Panigale V4R, Honda CBR1000RR-R serta BMW M1000RR, hasilnya jurang masa yang dihasilkan oleh Adam Norrodin sekitar 11 saat dengan juara Race 1 iaitu Azroy Hakeem.
Dengan keputusan positif diraih di Race 1 ini sudah pasti akan memberi satu suntikan semangat buat Adam Norrodin serta pasukan AMS khususnya untuk cuba meraih podium di Race 2 pada Ahad.

Kemunculan Suzuki amat dinantikan oleh para peminat di perlumbaan ARRC khususnya di Malaysia serta penampilan Wildcard pasukan AMS diharap akan dapat diteruskan bagi bersaing di pusingan-pusingan ARRC setereusnya kelak.