Ada sesuatu yang pelik berlaku ketika pertama kali saya memandu Perodua QV-E.
Bukan pelik dalam erti kata negatif. Sebaliknya, pelik kerana selepas bertahun-tahun memandu kereta Perodua, saya sudah cukup masak dengan karakter pemanduan jenama ini. Saya sendiri merupakan pengguna Perodua sejak zaman Kancil, dan sehingga hari ini masih menggunakan produk Perodua. Jadi, apabila saya duduk di belakang stereng QV-E, saya sebenarnya sudah menjangkakan bagaimana rasanya sebuah Perodua. Tetapi jangkaan itu ternyata meleset. QV-E tidak terasa seperti sebuah Perodua yang biasa saya kenali. Dan mungkin di situlah terletaknya perkara paling menarik tentang EV pertama Perodua ini.

Dari luar, QV-E tampil dengan siluet yang cukup sporty dan garang. Kalau dilihat dari sisi, bentuk badannya hampir memberikan bayangan sebuah kereta sport coupe. Garis bumbung yang menurun ke bahagian belakang serta rekaan pintu belakang yang begitu kemas menjadikan QV-E kelihatan seolah-olah sebuah kereta dua pintu. Perodua nampaknya memang berani bermain dengan identiti reka bentuk kali ini.

Antara perkara yang paling menarik perhatian saya ialah pemegang pintunya. Flush door handle, tetapi bukan jenis elektronik. Ia masih menggunakan mekanisme mekanikal. Bagi saya, ini satu perkara kecil yang sebenarnya cukup menarik. Dalam dunia kereta moden, apabila semakin banyak pengeluar mengejar teknologi dengan pemegang pintu elektrik atau automatik, Perodua memilih pendekatan yang lebih ringkas dan mekanikal. Dan saya suka.


Ia nampak moden, tetapi pada masa sama masih praktikal dan tidak terlalu bergantung kepada elektronik. Kemudian kita pergi pula ke bahagian belakang. Pemegang pintu belakang disembunyikan bersama rekaan cermin sisi belakang sehingga dari jauh, QV-E benar-benar memberikan ilusi seperti sebuah coupe dua pintu. Tetapi bahagian yang paling membuat saya tertarik ialah reka bentuk belakangnya. Perodua mengambil pendekatan yang cukup berani pada bahagian ini dengan menampilkan lampu belakang LED bersambung memberikan identiti yang kuat, sementara pembuka but pula disembunyikan pada kawasan logo belakang.

Setakat yang saya lihat, pendekatan sebegini memang sesuatu yang jarang kita lihat pada produk Perodua sebelum ini. Malah, terdapat juga elemen seakan-akan ducktail yang terbina secara kemas pada bahagian belakang. Semua ini membuatkan QV-E kelihatan seperti sebuah kereta yang masih membawa sedikit DNA kereta konsep. Dan saya rasa itu satu pujian.

Jika bahagian luar QV-E cuba menarik perhatian dengan reka bentuknya, kabin pula mengambil pendekatan yang lebih minimalis. Papan pemuka kelihatan kemas dan tidak terlalu sarat dengan butang atau suis. Namun begitu, Perodua masih mengekalkan beberapa butang dan suis fizikal untuk fungsi-fungsi penting. Tidak semua perkara perlu diakses melalui unit infotainmen. Bagi saya, inilah pendekatan minimalis yang lebih masuk akal dan menjadikan kabin nampak bersih dan moden, tetapi fungsi penting masih boleh dikawal dengan mudah tanpa mengganggu fokus ketika memandu. Terdapat paparan instrumen digital LCD di hadapan pemandu, manakala sistem infotainmen bersaiz sekitar 10 inci menjadi pusat utama di bahagian tengah papan pemuka. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar, selain pengecas telefon pintar tanpa wayar yang ditempatkan di konsol tengah.

Tetapi satu lagi perkara yang mencuri perhatian saya ialah penggunaan tombol gear jenis putar. Bagi sesetengah orang mungkin ia sekadar satu lagi cara memilih gear. Tetapi bagi saya, apabila digabungkan dengan keseluruhan reka bentuk kabin QV-E, tombol tersebut memberikan sedikit rasa seperti berada dalam sebuah kereta konsep. Kadang-kadang saya sendiri terfikir: “Betul ke ini Perodua?” Walaupun begitu, apabila diperhatikan dengan lebih dekat, masih terdapat beberapa sentuhan yang mengingatkan kita bahawa ini tetap sebuah Perodua. Kemasan dan beberapa bahagian dalamannya masih mempunyai rasa yang kita biasa jumpa pada produk Perodua. Dan saya sebenarnya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang buruk.

Kerana pada akhirnya, QV-E masih perlu menjadi sebuah kereta yang boleh diterima dan digunakan oleh pemilik Perodua biasa. Rekaan luaran yang sporty memang menarik perhatian, tetapi komprominya mula terasa apabila kita duduk di tempat duduk belakang. Siluet coupe itu bukan sekadar untuk cantik di luar. Ia turut memberikan kesan kepada ruang kepala di dalam.

Untuk seseorang dengan ketinggian sekitar 170 cm seperti saya, kepala sudah terasa agak hampir dengan bumbung. Masih ada ruang, tetapi hanya lebih kurang segenggam sebelum kepala benar-benar menghampiri bahagian atas. Bagi penumpang yang lebih tinggi, saya boleh bayangkan ruang kepala akan menjadi perkara yang perlu diberi perhatian. Jadi, kalau anda memilih QV-E kerana reka bentuknya yang sporty, anda mungkin perlu menerima sedikit kompromi dari segi praktikaliti di bahagian belakang. Tetapi bukankah itu yang selalu berlaku apabila sebuah kereta memilih untuk kelihatan lebih bergaya?

Inilah bahagian yang paling membuat saya terkejut. Pemanduannya. Seperti yang saya katakan tadi, saya sudah lama mengenali karakter Perodua. Tetapi apabila kaki mula menekan pedal QV-E, pengalaman itu terasa sangat berbeza. Responsnya pantas. Kuasa datang dengan segera. Dan apabila menggunakan mod Sport, QV-E terasa seperti sebuah kereta kecil yang mempunyai tenaga jauh lebih besar daripada rupa fizikalnya. Ia mengingatkan saya kembali kepada zaman Perodua memperkenalkan Myvi dengan enjin 1.5 liter, selepas sebelum itu model tersebut lebih sinonim dengan enjin 1.3 liter. Ketika itu, Myvi mula mendapat jolokan sebagai “raja jalanan”, kecil, lincah, bertenaga dan menyeronokkan untuk dipandu.

QV-E memberikan semula rasa itu, tetapi dalam bentuk yang lebih moden dan elektrik. Saya tidak menjangkakan sebuah Perodua akan memberikan pengalaman sebegini. Ia bukan sekadar cukup bertenaga untuk bergerak di dalam bandar. Ia seronok dipandu. Malah, saya berani katakan QV-E mempunyai karakter sebuah fun car, dengan pengendalian yang cukup mengagumkan bagi sebuah Perodua. Saiznya tidak terlalu besar, tetapi mempunyai kuasa dan respons yang cukup untuk membuatkan pemanduan terasa menghiburkan. Kalau selama ini Ativa sering dilihat sebagai antara Perodua yang lebih menyeronokkan untuk dipandu kerana kehadiran turbo pada enjinnya, maka selepas mencuba QV-E saya rasa Ativa perlu beri laluan seketika. Adik baru ini nak jalan dulu.

Tidak menghairankan sekiranya pengalaman pemanduan QV-E terasa agak berbeza daripada Perodua yang kita kenal. Perodua sebelum ini turut bekerjasama dengan Magna Steyr dalam pembangunan kejuruteraan dan aspek berkaitan kenderaan, dan pengaruh pengalaman kejuruteraan global itu mungkin dapat dirasakan pada karakter QV-E. Yang pasti, QV-E memberikan satu pengalaman yang cukup meyakinkan dari belakang stereng.
Handling terasa baik. Respons stereng pula memberikan keyakinan. Dan yang paling penting, keseluruhan kereta terasa stabil dan mudah dikawal. Ia bukan sebuah kereta yang cuba menjadi kereta sports. Tetapi ia mempunyai cukup karakter untuk membuatkan pemandu tersenyum selepas keluar dari selekoh.Dan bagi sebuah Perodua, itu sesuatu yang saya sangat hargai.

Dari segi jarak perjalanan, saya melihat QV-E sebagai sebuah EV yang sangat sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar. Untuk rutin ulang-alik, pergi kerja, menghantar anak, membeli-belah atau bergerak sekitar bandar, jarak yang ditawarkan sepatutnya mencukupi. Tetapi apabila perjalanan mula menjadi lebih jauh, perkara paling penting ialah perancangan. Saya sendiri membawa QV-E sehingga ke Kuantan dan secara keseluruhannya pengalaman tersebut tidak menimbulkan masalah besar. Cuma sebagai pemilik, kita perlu mengubah sedikit cara berfikir.
Kalau kereta petrol, kita biasanya hanya perlu melihat jarum minyak dan tahu di mana hendak berhenti. Dengan EV, kita perlu tahu di mana lokasi pengecas, berapa lama masa diperlukan dan bagaimana keadaan bateri sepanjang perjalanan. Bagi saya, itu bukan kelemahan QV-E semata-mata. Itulah realiti memiliki sebuah EV. Dan semakin baik infrastruktur pengecasan, semakin mudah perkara ini akan menjadi pada masa akan datang. Cuma satu perkara yang saya harap Perodua boleh beri perhatian lebih pada masa akan datang ialah keselesaan tempat duduk. Bagi perjalanan yang lebih jauh, saya rasa masih ada ruang untuk Perodua memperbaiki lagi aspek ini.

Ini mungkin antara bahagian paling menarik untuk dibincangkan tentang QV-E, malah menjadi perbualan hangat yang penuh kontroversi. Pada pandangan pertama, konsep Battery-as-a-Service atau BaaS mungkin membuatkan sesetengah orang tertanya-tanya: “Kenapa aku perlu sewa bateri kereta sendiri?” Tetapi apabila difikirkan dari sudut jangka panjang, konsep ini sebenarnya mempunyai logik tersendiri.
Kita semua tahu bateri lithium-ion akan mengalami degradasi selepas digunakan dalam tempoh yang panjang. Sama seperti bateri telefon pintar, kapasiti dan tahap kesihatan bateri akan berubah mengikut corak penggunaan, kekerapan pengecasan, suhu dan usia bateri. Jadi, daripada kita sebagai pemilik perlu memikirkan tentang keadaan bateri selepas bertahun-tahun, model BaaS memberikan satu bentuk perlindungan dan ketenangan fikiran kerana bateri tersebut berada di bawah skim yang ditawarkan oleh Perodua.

Bagi saya, ini sebenarnya boleh menjadi salah satu kelebihan QV-E. Bukan semua orang mahu memikirkan tentang kos penggantian bateri beberapa tahun selepas membeli EV. Dengan adanya pilihan BaaS, pemilik sekurang-kurangnya mempunyai satu lagi pilihan untuk mengurus risiko tersebut. Tetapi sudah tentu, sama ada BaaS lebih berbaloi atau tidak bergantung kepada tempoh pemilikan, jumlah penggunaan dan kiraan kos keseluruhan setiap individu.
QV-E hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan dan keselamatan moden seperti yang kita jangkakan daripada sebuah EV masa kini. Tetapi daripada semua teknologi yang ada, satu fungsi yang paling menarik perhatian saya sebenarnya bukanlah sistem yang membantu kereta bergerak lebih laju atau lebih pintar. Sebaliknya, ia ialah Child Presence Detection atau CPD. Kenapa?

Sebab ia berkait dengan satu perkara yang sangat dekat dengan kehidupan manusia. Kita sering mendengar tentang kes kanak-kanak yang secara tidak sengaja tertinggal di dalam kenderaan. CPD direka untuk membantu mengesan kehadiran kanak-kanak selepas kenderaan dimatikan dan memberikan amaran kepada pemilik serta orang di sekeliling. Kereta boleh mengeluarkan amaran melalui bunyi dan lampu, manakala sistem turut berkomunikasi dengan aplikasi pintar P-Circle untuk memberikan makluman kepada pemilik. Bagi saya, ini bukan sekadar satu lagi ciri teknologi untuk dimasukkan ke dalam senarai spesifikasi. Ia adalah teknologi yang mempunyai tujuan. Dan saya sangat menghargai usaha Perodua dalam memberikan perhatian kepada isu seperti ini.
Selain fungsi keselamatan, QV-E juga boleh dihubungkan dengan aplikasi pintar P-Circle. Melalui aplikasi ini, pemilik boleh memantau beberapa status kenderaan dan mendapatkan maklumat berkaitan kereta mereka. Ia juga boleh digunakan sebagai satu lagi bentuk akses kepada kenderaan. Perodua turut menawarkan P-Go sebagai pilihan tambahan. Jam pintar ini bukan sekadar untuk melihat masa sahaja, malah ia boleh digunakan sebagai kunci kenderaan dan pada masa sama membolehkan pemilik menyemak beberapa status kenderaan. Bagi saya, ciri seperti ini mungkin nampak kecil.

Tetapi apabila semakin banyak perkara dalam kehidupan kita bergerak ke arah ekosistem digital, fungsi sebegini akan menjadi semakin relevan. Dan saya juga mengharapkan kesemua produk keluaran Perodua baru juga boleh memiliki sistem sokongan seperti ini, tidak lah semata-mata hanya untuk Perodua QV-E sahaja. Kerana Perodua QV-E juga memiliki butang kecemasan SOS yang mana sama ada pemandu ataupun kenderaan itu sendiri boleh berhubung terus kepada sistem bantuan Perodua, maka saya nampak itu satu lagi kelebihan yang saya harapkan ada pada model-model keluaran perodua akan datang. Baru la sesuai dengan visi Perodua “Building Cars, People and the Future”

Selepas memandu QV-E, saya rasa soalan ini sebenarnya lebih menarik daripada soalan sama ada ia sebuah EV yang bagus atau tidak. Sebab pada saya, QV-E bukan sekadar percubaan pertama Perodua dalam dunia EV. Ia seperti satu titik perubahan. Perodua mengambil sesuatu yang selama ini kita kenal sebagai sebuah kereta yang praktikal, mudah digunakan dan dekat dengan rakyat Malaysia dan kemudian memasukkannya ke dalam bentuk yang jauh lebih berani. Reka bentuknya berani. Teknologinya berani. Dan paling mengejutkan,pemanduannya juga berani. Ada kompromi,ruang kepala belakang bukanlah yang terbaik untuk penumpang tinggi.
Keselesaan kerusi masih boleh dipertingkatkan. Dan untuk perjalanan jauh, perancangan pengecasan masih menjadi sebahagian daripada rutin pemilikan. Tetapi apabila semua perkara itu diketepikan, QV-E meninggalkan satu perkara yang saya tidak jangka sebelum memandunya: senyuman.

Saya masuk ke dalam QV-E dengan pemikiran bahawa saya akan memandu sebuah Perodua elektrik. Saya keluar dengan perasaan seolah-olah baru selesai memandu sesuatu yang datang daripada jenama yang jauh lebih premium. Dan mungkin itu pujian paling besar yang boleh saya berikan kepada Perodua QV-E. Ia masih sebuah Perodua. Tetapi kali ini, Perodua yang kita kenal itu sudah mula menunjukkan sisi yang jauh lebih berani.
Dan perkara yang paling membanggakan, QV-E benar-benar membawa DNA anak Malaysia. Ia bukan sekadar model luar yang ditukar logo atau ditambah aksesori baharu. QV-E lahir daripada pengalaman, pembelajaran dan usaha anak tempatan yang membina Perodua sejak awal penubuhannya di Malaysia. Apa-apa pun, tahniah Perodua.Saya bangga menjadi anak Malaysia.