Kejuaraan TOYOTA GAZOO Racing (TGR) Asia Esports GT Championship 2025 melabuhkan tirai dengan penuh dramatik di Toyota Alive Space, Bangkok. Seramai 15 pelumba simulasi terbaik Asia dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina berentap dalam tiga perlumbaan intensif menggunakan Gran Turismo 7.

Acara tahun ini turut menampilkan lima rekaan livery khas Yaris GR yang mewakili setiap negara peserta, diberikan identiti unik pada setiap jentera di atas litar. Bintang Indonesia, Andika Rama, memastikan pengembalian gemilangnya dengan meraih gelaran juara keseluruhan setelah mengumpul 74 mata. Ini merupakan gelaran keduanya selepas memenangi kejuaraan sama pada 2023.

Rakan senegara Moreno Pratama menamatkan saingan di tempat kedua dengan 62 mata, manakala pelumba Malaysia Chong Kai Chang meraih tempat ketiga dengan 59 mata.Kejayaan dua pelumba Indonesia di atas podium membantu negara itu mengumpul 169 mata, sekali gus menjuarai Kategori Negara. Malaysia (151 mata) dan Singapura (93 mata) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Perlumbaan pembukaan di Litar Suzuka berlangsung dalam hujan lebat, menjadikan pemilihan dan pengurusan tayar sebagai faktor kritikal.Pelumba Malaysia, Taj Aiman, memulakan perlumbaan dengan baik dan mendahului majoriti pusingan, namun masalah tayar menyebabkan beliau jatuh ke tempat keempat.

Andika Rama memanfaatkan peluang dan melakukan pecutan akhir untuk merangkul kemenangan pertama, diikuti Moreno Pratama dan Chong Kai Chang. Perlumbaan kedua berlangsung di litar Interlagos memperkenalkan format baharu. Perlumbaan pasukan tiga pemandu dengan dua pertukaran pemandu wajib, menggunakan jentera GR010 Hybrid. Malaysia bermula kuat, namun persaingan sengit antara strategi tayar dan pitstop menjadi penentu.

Malaysia akhirnya menjuarai perlumbaan ini hasil pertukaran pemandu yang tepat pada masa dan strategi pit yang cermat, diikuti Indonesia dan Singapura. Perlumbaan terakhir menggunakan GR Supra Race Car ’19 memperlihatkan persaingan antara Indonesia dan Malaysia. Keputusan pit awal Malaysia membawa mereka ke kelompok hadapan, tetapi degradasi tayar memaksa satu lagi hentian yang merugikan masa.

Fadtris Isa dari Singapura mencuri perhatian apabila berjaya memecut ke tempat kedua sebelum Andika Rama kembali menguasai perlumbaan untuk kemenangan keduanya malam itu. Moreno Pratama mengekori rapat di P2, manakala Chong Kai Chang mencipta kebangkitan hebat dari P7 ke P3.Andika Rama, juara keseluruhan