Sejak Perodua mengumumkan kehadiran SUV Segmen-B terbaru mereka, Perodua Traz, pasaran automotif tempatan terus jadi hangat. Masuk sahaja ke bilik pameran, varian yang paling mencuri tumpuan pastinya Perodua Traz H spec. Mana tidaknya, model ini telah menjadi penantian ramai, lagi-lagi peminat jenama Perodua.

​Sebagai model yang berkongsi platform DNGA dengan Toyota Yaris Cross, ramai yang tertanya-tanya: Adakah Traz ini sekadar sebuah Alza yang ‘ditinggikan’ dan di kurangkan jumlah tempat duduknya seperti Alza?, atau adakah ia sebuah SUV urban yang betul-betul berbaloi untuk dimiliki pada tanda harga sekitar RM82,000?

​Saya baru sahaja selesai memandu uji model ini selama beberapa hari, meredah kesesakan lebuh raya Kuala Lumpur sehinggalah melayan selekoh jalan kampung.

​Bila tengok depan-depan, Perodua Traz H spec ni memang nampak sasa. Bahasa rekaan luarannya tidak nampak murah langsung. Garis badan yang tajam dan rekaan jeruji (grille) hadapan yang agresif membuatkan ia nampak seperti sebuah SUV mini-RAV4. Ringkas kata, pandang pertama masa sesi ‘1st preview’ sebelum sesi pelancaran aje sudah membuat saya bercakap ‘Wah’

  • Rim 17 Inci Dua Tona: Varian H datang dengan rim aloi 17 inci yang mengisi ruang dapra roda dengan cantik. Profil tayar 215/60 R17 memberikan imbangan yang baik antara rupa estetik dan keselesaan menyerap hentakan.
  • Sistem Lampu Premium: Lampu utama Full LED bukan sahaja terang benderang waktu malam, malah lampu isyarat jenis sekuensial (sequential turn signal) memberikan imej premium berskala tinggi. Bila kunci dibuka, Welcome Lamp bawah cermin sisi menyala. Satu sentuhan yang buat kita rasa dihargai sebagai pemilik, yang ni memang macam ‘feel’ kereta mewah.

​Satu ciri yang paling saya suka untuk segmen harga begini ialah Power Back Door dengan Motion Sensing. Balik daripada pasar raya dengan tangan penuh memegang barang, acah-acah hayun kaki bawah bampar belakang, but terus terbuka. Praktikaliti ini memang ‘lulus cemerlang’.

​Melangkah masuk ke dalam kabin Perodua Traz H spec, posisi pemanduan terasa tinggi dan memberikan jarak penglihatan yang sangat baik. Rekaan papan pemuka (dashboard) nampak moden dan kemas, walaupun masih banyak penggunaan plastik keras (sesuatu yang standard untuk mengekalkan harga mampu milik). Ditambahkan pula dengan ‘accent’ bewarna merah untuk memberikan rasa berbeza dan tidak terlampau bosan jika dilihat.

Skrin Infotainmen 9 Inci: Ini bukan skrin ‘kosmetik’ semata-mata. Ia menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara lancar. Navigasi Waze dan playlist Spotify boleh dipaparkan tanpa perlu pemegang telefon tambahan. Baru la dapat fokus pada pemanduan sepenuhnya.

​Electronic Parking Brake (EPB): Konsol tengah nampak sangat bersih dan luas sebab tiada lagi tuas brek tangan fizikal. Ciri Auto Brake Hold sangat membantu mengurangkan keletihan kaki kanan masa ‘pakej jem’ di ibu kota.

​Pendingin Hawa Digital dengan Auto Mode: Tambah menarik, ada corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Anak-anak atau kawan-kawan kat belakang tak akan merungut kepanasan lagi.

​Kapasiti but sebesar 471 liter adalah antara yang terbesar dalam kelasnya. Lantai but juga boleh dilaraskan untuk fleksibiliti tambahan. Cuma kekurangan kecil yang saya perasan, kluster meter masih jenis hibrid (analog + skrin TFT 4.2 inci), bukannya paparan digital sepenuhnya. Namun, ia masih mudah dibaca dan sarat dengan informasi. Tapi, lain orang lain cita rasanya, dari pandangan saya, gaya gabungn kluster meter ini menjadi pilihan saya.

​Di atas kertas, Perodua Traz H spec dijana oleh enjin 1.5L 4-silinder NA (Dual VVT-i, kod 2NR-VE) yang menghasilkan sekitar 104-106 PS dan tork 138 Nm, digandingkan dengan transmisi D-CVT. Ya, ini enjin naturally aspirated (tiada turbo). Nak tak nak saya kene juga sebut, sebab ada yang masih bandingkan bersama Perodua Ativa, walaupun Perodua Ativa tu hanya 1.0L 3-Silinder Turbo.

​Untuk pemanduan harian di dalam bandar, gandingan enjin dan kotak gear D-CVT ini sangat responsif. Pertukaran ‘gear’ terasa lancar tanpa ada sentakan (jerk). Kuasa tork seawal kelajuan rendah sudah memadai untuk urusan memotong kenderaan atau mendaki bukit-bukit kecil di kawasan perumahan. Karakter sterengnya ringan, membuatkan urusan memarkir dan menukar lorong terasa sangat lincah.

​Bila masuk ke lebuh raya, pemanduan lebih menjurus kepada aspek keselesaan (cruising). Pada kelajuan imbang 110 km/j, putaran enjin (RPM) berada pada tahap yang rendah dan senyap. Sasis DNGA (Daihatsu New Global Architecture) memamerkan kuasanya di sini kerana ia memberi rasa kereta lebih tegap, kurang membuai (body roll), dan kawalan kestabilan ketika mengambil selekoh agak meyakinkan.

​Satu perkara yang perlu saya beritahu secara jujur, Jangan jangkakan prestasi seperti pesaingnya yang berlainan jenama. ​Apabila kereta sarat dengan penumpang dan anda perlu memecut mendadak untuk memotong di laluan satu lorong, enjin 1.5L NA ini perlu ‘bekerja keras’. Bunyi ngauman enjin akan didengari masuk ke dalam kabin apabila pedal minyak ditekan rapat (kickdown). Ia mengambil sedikit masa untuk membina momentum kelajuan. Sedikit sedih apabila Perodua Traz H tidak dilengkapkan dengan, Sistem Adaptive Cruise Control (ACC), bermakna anda perlu mengawal pedal secara manual sepenuhnya di lebuh raya panjang.

​Walaupun prestasinya tidak se-agresif seperti Perodua Ativa,tetapi Perodua Traz membalas dendam dalam aspek yang paling dicari oleh rakyat Malaysia dalam penjimatan bahan api. Dalam tempoh pandu uji saya yang merangkumi 60% pemanduan bandar dan 40% lebuh raya, saya berjaya mencatatkan bacaan sekitar 17.5 km/liter hingga 19.0 km/liter tanpa perlu memandu seperti ‘pemandu berhemah maksimum’. Jika anda kerap memandu jarak jauh dengan kelajuan malar, angka tuntutan rasmi 21.3 km/liter bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

​Perodua tidak pernah lokek dengan keselamatan. Traz H spec dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif yang merangkumi:

  • 6 Beg Udara & Sistem Brek Cakera (depan dan belakang).
  • Pre-Collision Warning & Braking (Sistem Brek Kecemasan Automatik).
  • Blind Spot Monitor (BSM) & Rear Cross Traffic Alert (RCTA): Sangat membantu mengesan motosikal yang mencelah di zon titik buta.
  • Panoramic View Monitor (PVM): Kamera 360 darjah yang memberikan pandangan atas (bird’s eye view). Sangat tajam dan memudahkan urusan parkir di petak yang sempit.

Perodua Traz H spec ialah sebuah SUV urban yang ditala dengan formula yang betul untuk pasaran massa. Ia bukan dibina untuk peminat kelajuan (speed junkies), tetapi ia dibina untuk mereka yang mahukan sebuah kenderaan harian yang serba boleh. Rupanya yang kacak, sesuai dengan matlamat kegunaanya sebagai SUV Urban.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *