Honda Malaysia secara rasmi telah menghidupkan semula nama ikonik yang amat dirindui peminat tegar automotif, All-New Prelude Generasi Ke-6.
​Dilancarkan dengan penuh gilang-gemilang di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026), jentera sports coupe ini dibina di bawah konsep revolusioner “Unlimited Glide”. Ia sedia menawarkan adunan mantap antara keseronokan pemanduan tulen (driving enjoyment), keselesaan premium, dan praktikaliti harian sebuah Grand Tourer (GT) moden.



“Teknologi hibrid kekal sebagai salah satu jalan paling realistik dan berkesan ke arah kelestarian alam sekitar, dalam masa yang sama menawarkan prestasi serta keseronokan pemanduan yang dimahukan pelanggan. Menerusi All-New Prelude, jentera ini menjadi simbol bagaimana teknologi hibrid mampu melonjakkan lagi keterujaan memandu serta mengekalkan hubungan emosi antara pemandu dan kereta.”
Mr. Narushi Yazaki, Pengarah Urusan & CEO Honda Malaysia.


​Di bawah bonet anggun jentera ini, tersembunyi sistem rangkaian kuasa hibrid maju 2.0L e:HEV yang menghasilkan kuasa bertenaga 184 PS dan tork gergasi 315 Nm. Paduan ini menjanjikan pecutan responsif yang sangat lancar di samping kecekapan bahan api yang mengagumkan.
​Namun, bintang utama dalam aspek mekanikal Prelude baharu ini ialah debut S+ Shift Technology yang pertama kali diperkenalkan dalam barisan model Honda Malaysia.


​Sistem hibrid pacuan motor (motor-driven hybrid system) ini berfungsi mengawal RPM enjin secara tepat ketika pecutan dan nyahpecutan. Hasilnya? Ia memberikan rasa tukaran “gear” yang lebih tajam, padat, dan intuitif ala kotak gear konvensional! Pemanduan menjadi lebih imersif dengan kehadiran Active Sound Control (ASC) dan paparan visual dinamik pada Power Meter yang berubah mengikut rentak pemanduan anda.



​All-New Prelude didatangkan dengan tiga mod pemanduan utama yang ditala secara harmoni bersama teknologi S+ Shift untuk karakter pemanduan yang versatil:
1. ​Sport Mode: Menajamkan respons pengendalian dan kestabilan maksimum untuk pemanduan agresif yang dinamik.
2. ​GT Mode: Imbangan premium antara keselesaan tinggi, kestabilan optimum, dan prestasi lancar untuk kembara jarak jauh (grand touring).
3. ​Comfort Mode: Ditala khas untuk pemanduan santai harian dengan hantaran kuasa lebih lembut dan stereng yang lebih ringan.
Mahukan talaan sendiri? Melalui Individual Mode, anda bebas mengubah suai tetapan penting merangkumi rangkaian kuasa (powertrain), maklum balas stereng, sistem suspensi, paparan meter, sehinggalah kepada bunyi ngauman enjin mengikut cita rasa peribadi.


​Bagi memastikan Prelude bukan sekadar ‘pakar jalan lurus’, Honda telah menyuntik DNA perlumbaan dengan meminjam teknologi casis daripada jentera ikonik Civic Type R:
• ​Dual-Axis Strut Suspension & Adaptive Damper System (ADS): Memberikan kawalan selekoh jitu serta keyakinan pemanduan gred tinggi.
• ​Agile Handling Assist (AHA): Memaksimumkan kestabilan kenderaan ketika melibas selekoh tajam atau melakukan manuver kecemasan.
• ​Coasting Control Operation (Pertama Untuk Honda): Ciri pintar baru ini membolehkan kenderaan melakukan nyahpecutan (deceleration) secara sangat lancar tanpa memerlukan pemandu kerap menukar kaki antara pedal brek dan pendikit yang sangat membantu mengurangkan keletihan memandu!

​Dari sudut estetika, Prelude tampil memukau dengan profil fastback yang licin dan garisan badan yang mengalir harmoni. Antara perincian premium yang wajib diberikan perhatian termasuklah:
• ​Garis Bumbung Seamless: Honda berjaya menyatukan bumbung kaca hingga ke bahagian belakang tanpa gangguan visual, terima kasih kepada integrasi antena radio jenis cetakan kaca (glass-print) terus pada cermin belakang.
• ​Kemasan Eksklusif: Gril krom hitam (Black Chrome Grille), lampu hadapan LED sepenuhnya, serta lampu belakang LED Combi dengan lensa merah (Red Lens).
• ​Flush Door Handles: Pemegang pintu jenis rata (flush) yang melesap ke dalam badan untuk aerodinamik dan penampilan ultra-moden.
• ​Rim 19-Inci & Brek Brembo: Rim aluminium bersaiz 19 inci yang memuatkan angkup brek (Brembo) berwarna biru garang, sedondong dengan kemasan aksen biru pada bamper hadapan dan belakang sebagai simbol hibrid berprestasi.

​Melangkah ke dalam kabin, konsep Gliding Cockpit menyambut anda dengan susun atur yang bersih, moden, dan fokus kepada pemandu:
• ​Tempat Duduk Asimetrik: Kerusi pemandu direka rapat untuk kawalan dinamik maksimum, manakala kerusi penumpang hadapan mengutamakan keselesaan premium serta kemudahan keluar-masuk.
• ​Teknologi & Infotainmen: Skrin 9-inci Advanced Display Audio yang dilengkapi fungsi Google Built-in (Google Assistant, Google Maps, Google Play).
• ​Audio Audiophile: Sistem audio premium Bose Premium Sound System untuk kepuasan telinga tahap tertinggi.
• ​Praktikaliti Harian: Di sebalik rekaan sports coupe, ruang but belakang direka luas dan mampu memuatkan dua beg bagasi bersaiz sederhana dengan mudah.
• ​Keselamatan: Dilengkapi set lengkap bantuan pemandu Honda SENSING demi ketenangan minda maksimum.


All-New Honda Prelude ditawarkan pada harga RM278,000. Ia menjadi model mercu tanda (landmark model) yang membuka lembaran baharu dalam evolusi kenderaan berprestasi tinggi hibrid Honda di Malaysia.
​Bagi peminat yang ingin melihat jentera ini secara dekat, anda boleh mengunjungi ruang pameran Honda di KLIMS 2026.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *