Great Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini mencipta satu lagi penanda aras dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) tempatan dengan pelancaran rasmi GWM WEY G9 Hi4 PHEV, sebuah MPV mewah plug-in hybrid yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia. Dengan harga atas jalan RM269,800, model ini menyasarkan pembeli MPV premium yang mahukan gabungan prestasi, kecekapan bahan api dan kemewahan kelas pertama.

Pelancaran WEY G9 Hi4 PHEV juga membawa signifikan strategik buat GWM, apabila Malaysia dipilih sebagai hab pemasangan dan eksport serantau untuk pasaran ASEAN, menandakan keyakinan tinggi pengeluar automotif China ini terhadap ekosistem automotif tempatan. Jenama WEY merupakan sub-jenama premium di bawah GWM yang dinamakan sempena pengasas syarikat, Jack Wey. Ia diwujudkan untuk menyaingi jenama premium global dengan fokus kepada teknologi hibrid, keselamatan canggih dan pengalaman pengguna premium.
Menurut GWM, WEY G9 Hi4 PHEV direka berlandaskan konsep “First Class for All”, iaitu menyediakan pengalaman mobiliti kelas pertama yang praktikal dan relevan untuk kegunaan seharian keluarga moden serta golongan profesional.

Di bahagian trenkuasa, WEY G9 Hi4 PHEV dikuasakan oleh sistem Hi4 Intelligent Hybrid yang menggabungkan enjin petrol turbo dengan dua motor elektrik, memberikan pacuan keempat-empat roda secara pintar. Gabungan ini menghasilkan kuasa maksimum 442 PS dan tork setinggi 642 Nm, membolehkan MPV besar ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 5.7 saat dan angka ini yang biasanya dikaitkan dengan SUV prestasi atau sedan premium.

Sistem Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC) pula berfungsi mengagihkan tork secara dinamik bagi meningkatkan kestabilan, cengkaman dan keyakinan pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan raya Malaysia. Sebagai sebuah plug-in hybrid, WEY G9 Hi4 PHEV direka untuk menawarkan pemanduan elektrik sepenuhnya bagi kegunaan harian, tanpa mengorbankan kebolehan perjalanan jauh.
Ia mampu bergerak sehingga 170 km dalam mod elektrik sepenuhnya, manakala jarak gabungan keseluruhan melebihi 1,000 km apabila digabungkan dengan enjin petrol. Walaupun tahap bateri rendah, penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 6.2L/100 km, disokong oleh pengurusan tenaga pintar dan peralihan lancar antara mod hibrid Series dan Parallel. Ini menjadikan WEY G9 antara MPV paling cekap dalam segmen premium di Malaysia.

Dari segi dimensi, WEY G9 Hi4 PHEV mempunyai panjang 5,050 mm dan jarak roda 3,085 mm, memberikan ruang dalaman yang luas untuk ketiga-tiga baris tempat duduk. Tempat duduk hadapan dibalut kulit Nappa dan dilengkapi fungsi pengudaraan serta urutan, manakala baris kedua menawarkan kerusi kapten Zero Gravity dengan pelarasan satu sentuhan. Baris ketiga pula direka untuk menempatkan penumpang dewasa dengan selesa, menjadikan MPV ini sesuai untuk perjalanan jarak jauh seisi keluarga atau kegunaan VIP. Lantai kabin yang rata dan laluan tengah yang luas turut memudahkan pergerakan penumpang di dalam kabin.
GWM turut memberi perhatian serius kepada kesenyapan kabin, dengan tahap bunyi diukur sekitar 63.4 dB pada kelajuan 120 km/j. Ini dicapai melalui penggunaan kaca akustik dua lapisan, bahan penebat struktur serta teknologi Active Noise Cancellation (HALOSonic). Bagi hiburan, WEY G9 dilengkapi sistem audio premium 21 pembesar suara dengan kuasa 2,440 watt yang direka khusus untuk akustik kabin, memberikan pengalaman audio setaraf kenderaan mewah kelas atasan.

Antara ciri menarik yang jarang ditemui dalam MPV segmen ini ialah peti sejuk dan pemanas 12.5 liter yang boleh beroperasi sehingga 24 jam walaupun enjin dimatikan, serta output kuasa luaran 3.3 kW (V2L) untuk kegunaan peralatan elektrik. Dengan tambahan 11 port pengecasan dan sambungan aplikasi mudah alih untuk kawalan suhu serta kuasa, WEY G9 menyasarkan gaya hidup keluarga moden, profesional dan aktiviti luar seperti perjalanan jauh atau perkhemahan.

Aspek keselamatan turut diberi keutamaan dengan struktur badan yang menggunakan lebih 83% keluli berkekuatan tinggi, termasuk tiang struktur sehingga 2,000 MPa serta bumbung yang mampu menahan tekanan sehingga 12 tan. Sistem beg udara disediakan untuk semua baris tempat duduk, manakala pek bateri hanya diperakui selepas melalui 89 ujian keselamatan. Kenderaan ini turut dilengkapi ADAS Tahap 2 dengan lebih 20 fungsi bantuan pemandu, termasuk ciri keselamatan aktif pintar untuk kegunaan harian.

GWM WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan di Malaysia pada harga RM269,800 atas jalan.
Tawaran pemilikan termasuk:
– Skrin hiburan baris kedua percuma untuk 1,000 pembeli pertama
– 5 tahun data sambungan percuma
– 5 tahun penyelenggaraan percuma
– Pengecas dinding rumah percuma
Perlindungan waranti:
– 6 tahun waranti kenderaan tanpa had perbatuan
– 8 tahun atau 180,000 km waranti sistem hibrid dan bateri

WEY G9 Hi4 PHEV dipasang secara tempatan di Malaysia dan akan dieksport ke Thailand serta pasaran ASEAN lain. GWM menyatakan bahawa pemasangan tempatan ini menyokong pemindahan teknologi, pembangunan rantaian bekalan dan selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh pasaran kenderaan tenaga baharu. Sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran, GWM Malaysia melantik Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai duta WEY G9, selaras dengan imej MPV premium untuk keluarga dan golongan profesional.
