MODENAS melalui syarikat Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) telah melancarkan dua model baharu Kawasaki iaitu Ninja ZX-4RR dan Ninja ZX-4R SE.

Model yang menjadi bualan hangat di Malaysia hadir untuk memberikan pengalaman tunggangan mengujakan menggunakan enjin empat silinder sebaris yang begitu diidamkan oleh pengemar motosikal di Malaysia.

Kedua-dua varian dijana enjin 399cc DOHC empat silinder sebaris sejukan cecair yang mampu menghasilkan sehingga 57.0 kW pada 14,500 rpm dan 58.7 kW dengan sistem RAM AIR. Enjin ini menawarkan karakter serta bunyi ikonik Supersport Kawasaki.

Kawasaki Ninja ZX-4R SE lebih memfokuskan kepada tunggangan harian dengan keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan kawalan, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian serta tunggangan hujung minggu. Model ini hadir dalam dua varian warna iaitu Metallic Moondusty Gray/Metallic Spark Black dan Blizzard White/Spark Black.



Sementara itu untuk mereka yang mahukan tunggangan yang lebih agresif, Kawasaki Ninja ZX-4RR ditawarkan sebagai sebuah jentera “Track Ready” dilengkapi suspensi Showa boleh laras sepenuhnya termasuk Monoshock Showa BFRC-lite, selain talaan prestasi tambahan untuk pengalaman tunggangan lebih sporty. Model ini ditawarkan dalam warna Lime Green/Ebony.

Kedua-dua model turut dilengkapi Kawasaki Quick Shifter (KQS) dua arah, Kawasaki Traction Control (KTRC), ABS, selectable Power Modes serta paparan TFT moden. Ianya turut disertakan lampu LED penuh dan elemen aerodinamik berinspirasikan perlumbaan.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, Hitoshi Inoue, pelancaran ZX-4RR dan ZX-4R SE memberi pilihan kepada penunggang sama ada untuk kegunaan harian atau prestasi lebih agresif di litar.

Kawasaki Ninja ZX-4RR dijual pada harga RM42,999 manakala Kawasaki Ninja ZX-4R SE pada harga RM40,999 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *