Mercedes-Benz Malaysia membuka tirai tahun 2026 dengan pratonton eksklusif Mercedes-Benz CLA elektrik serba baharu, yang kini dipamerkan kepada orang ramai dari 15 hingga 18 Januari 2026 di Stars@Mercedes-Benz Bangsar.


Model ini menandakan permulaan era baharu buat CLA, bukan sahaja sebagai sedan kompak premium elektrik, malah sebagai Mercedes-Benz paling pintar pernah dihasilkan, hasil penggunaan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) buat pertama kali dalam kenderaan pengeluaran jenama itu.

CLA elektrik serba baharu merupakan model pertama yang dibangunkan sepenuhnya berasaskan MB.OS, sistem operasi dalaman Mercedes-Benz yang menggunakan seni bina superkomputer dan disambungkan ke Mercedes-Benz Intelligent Cloud. Melalui sistem ini, pelbagai fungsi kenderaan termasuk sistem bantuan pemanduan yang boleh menerima kemas kini over-the-air (OTA), memastikan kenderaan kekal relevan untuk jangka panjang.

Sorotan utama ialah MBUX Virtual Assistant generasi baharu, yang diperkasakan oleh AI generatif, membolehkan interaksi dialog semula jadi, berterusan dan kontekstual ia seperti seakan berbual dengan manusia. Sistem ini menggunakan gabungan ChatGPT-4o, carian Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk navigasi, dengan akses terus kepada data Google Maps bagi maklumat destinasi dan tempat menarik. Avatar berbentuk bintang Mercedes-Benz yang “hidup” sentiasa kelihatan pada paparan Zero Layer, dan sistem ini turut mampu mengenal pasti emosi pengguna ketika perbualan berlangsung.

Dalam aspek kecekapan, CLA elektrik serba baharu boleh dianggap sebagai “kereta satu liter” untuk era elektrik. Ia mencatatkan penggunaan tenaga serendah 12.2 kWh/100 km, dengan jarak pemanduan sehingga 792 km (WLTP) – antara yang terbaik dalam segmennya.
Sistem elektrik 800-volt digabungkan dengan bateri generasi baharu membolehkan pengecasan pantas, dengan tambahan jarak sehingga 325 km hanya dalam masa 10 minit pengecasan pantas.

Dari segi reka bentuk, CLA elektrik baharu menampilkan siluet sporty dengan jarak roda panjang, overhang pendek dan bahagian belakang gaya GT. Bonet panjang dengan ‘power domes’, garis bahu yang berotot serta permukaan badan yang bersih menghasilkan imej atletik yang kemas dan moden. Paling mencuri perhatian ialah gril A-shape ikonik yang ditafsir semula untuk EV, kini digantikan dengan panel bintang bercahaya sepenuhnya, menampilkan 142 unit LED berbentuk bintang dengan animasi individu – pertama kali diperkenalkan pada model produksi Mercedes-Benz. Bumbung panoramik kaca satu keping tanpa palang tengah pula memberikan rasa ruang dalaman yang lebih terbuka dan premium.

CLA elektrik ini juga menjadi Mercedes-Benz moden pertama yang dilengkapi ruang simpanan hadapan (frunk), menawarkan kapasiti 101 liter, manakala ruang but belakang menyediakan 405 liter ruang simpanan.

Mercedes-Benz Malaysia telah membuka tempahan awal untuk Mercedes-Benz CLA 250+ dengan EQ Technology menerusi laman web rasminya. Harga anggaran bermula dari RM295,888 (atas jalan, tanpa insurans, termasuk SST 10%) bagi Semenanjung Malaysia.

Seiring pelancaran model baharu, Mercedes-Benz Malaysia turut mengumumkan inisiatif akan datang seperti 100,000 km Club, satu program khas untuk menghargai pelanggan setia yang telah mencapai perbatuan tersebut, dengan pelbagai keistimewaan dan pengalaman eksklusif.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *