Selepas beberapa tahun melalui fasa peralihan, Kia kini kembali ke Malaysia secara rasmi melalui penubuhan Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM), iaitu syarikat jualan nasional milik penuh Kia Corporation. Pembaharuan ini menandakan era baharu bagi jenama Korea tersebut, yang kini mengurus sendiri semua aktiviti pemasaran, jualan, operasi dan pengalaman pemilikan dalam negara.

Menurut Presiden dan CEO KSM, Hyung Ho Kim, langkah ini membolehkan Kia mengukuhkan semula kehadirannya sambil menjawab persoalan yang sering timbul dalam kalangan pelanggan. “Kenapa pilih Kia?” “Kami mahu membina jenama ini secara mampan untuk jangka panjang. Fokus kami bukan sekadar pertumbuhan pantas, tetapi memastikan pelanggan, rangkaian pengedar dan industri menerima perhatian sewajarnya,” katanya.

Malaysia bukan sekadar pasaran runcit, ia juga menempatkan ibu pejabat Kia Asia Pacific (APAC), pusat strategik yang memantau enam syarikat subsidiari termasuk KSM dan unit pemasangan tempatan, Kia Malaysia. Untuk rantau APAC merangkumi 33 pasaran termasuk ASEAN, Australia dan New Zealand, dengan jualan lebih 165,000 unit pada 2024, dan bahagian pasaran 3.4%.

Di bawah struktur baharu yang berkuat kuasa 1 Januari 2026, KSM mengawal sepenuhnya perancangan jenama, pemasaran, latihan, jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Pasukan pengurusan utama KSM turut diperkenalkan, antaranya:

  • Hafiz Zaim – Pengarah Produk & Perhubungan Kerajaan
  • Victor Chan – Pengurus Besar Jualan
  • Rafhan Saiah – Pengurus Besar Pemilikan
  • Vince Yeoh – Pengurus Besar Pemasaran
  • Phang Chee Wei – Pengurus Besar Saluran

Tiga tunggak utama untuk mengukuhkan kembali jenama Kia di Malaysia dimana KSM memfokuskan tiga strategi asas:

  1. Pelaksanaan standard operasi global

Menyeragamkan operasi mengikut piawaian antarabangsa, termasuk pendekatan penjenamaan yang lebih kukuh bagi menjawab persoalan utama pelanggan.

  1. Membina semula rangkaian pengedar

KSM mahu memastikan setiap lokasi jualan dan servis menampilkan “pengalaman Kia sebenar” agar pelanggan menerima layanan konsisten di seluruh negara.

  1. Menyemak semula portfolio produk

Model yang dibawa masuk akan dipilih lebih teliti, menekankan kesesuaian dengan permintaan serta keadaan pasaran tempatan.

Kia mengekalkan barisan model popular melibatkan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta elektrik (EV):

Kia Sportage 2025 (NQ5)

Tersedia dalam empat varian: 2.0L, 2.0L High, 1.6T High dan 1.6T High AWD.

Enjin 2.0L NA Smartstream: 154 hp / 192 Nm, 6AT

Enjin 1.6 turbo Gamma II: 177 hp / 265 Nm, 7DCT

Kia Carnival (KA4)

MPV generasi keempat yang terus menjadi pilihan keluarga Malaysia. Ditawarkan dalam pilihan 7, 8 dan 11 tempat duduk.

Enjin 2.2 turbodiesel: 199 hp / 440 Nm, 8AT

Kia EV9 GT-Line

  • Model elektrik utama Kia di Malaysia, dengan konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk.
  • Kuasa AWD dwimotor: 380 hp / 700 Nm
  • Bateri 99.8 kWj, jarak WLTP sehingga 505 km
  • Pengecasan pantas DC sehingga 350 kW

Selari dengan slogan global “Movement that inspires”, Kia menekankan bahawa pergerakan bukan sekadar mobiliti fizikal, tetapi perjalanan emosi, inspirasi dan kreativiti. Visi ini diterapkan dalam produk, perkhidmatan dan setiap titik sentuh pelanggan.

“Masa depan Kia di Malaysia sangat menarik,” kata Kim. “Kami mempunyai pasukan kukuh, strategi jelas dan komitmen jangka panjang untuk membawa pengalaman Kia yang lebih baik kepada pengguna tempatan.”

Untuk pertanyaan berkaitan jualan, servis atau bantuan tepi jalan 24 jam, pelanggan boleh menghubungi 1300 88 0133 atau e-mel customersupport@kia-my.com.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *