Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan Mercedes-Maybach S 580 4MATIC Night Series, varian yang membawa grand limousine ini ke tahap eksklusif yang lebih tinggi. Jika model standard sudah sinonim dengan kemewahan, versi Night Series ini pula tampil dengan aura misteri, sentuhan gelap, serta perincian yang lebih dramatik dan seakan menegaskan bahawa inilah puncak elegan dalam keluarga S-Class.

Menurut Nadia Trimmel, Naib Presiden, Pemasaran & Jualan Mercedes-Benz Malaysia, model ini bukan sekadar S-Class premium biasa, tetapi satu pengalaman yang dibina mengikut keperibadian dan status pemiliknya. “Setiap unsur direka secara teliti untuk memberikan pengalaman bespoke yang melambangkan keanggunan dan keunikan pelanggan Maybach,” katanya.
Varian Night Series hadir dengan pilihan warna tunggal seperti kelabu, hitam dan putih, serta pilihan dua tona eksklusif termasuk onyx black/Mojave silver dan MANUFAKTUR opalite white bright/obsidian black dan ini menjadikan kombinasi yang memang “kena” dengan konsep misteri dan eksklusif Maybach.

Paling ketara ialah kemasan baharu dengan penggunaan dark chrome dan elemen rose gold pada lampu DIGITAL LIGHT. Sekali pandang pun sudah boleh nampak beza. Di bahagian luar, hampir setiap komponen signifikan menerima sentuhan gelap seperti gril radiator, bumper depan, trim bonet, pemegang pintu, emblem Maybach di tiang C hinggalah tulisan di bahagian belakang.
Rim aloi 20 inci 7-jejari Maybach pula direka dengan kemasan black + dark shadow gloss, siap dengan elemen aerodinamik yang menambah nilai estetika dan prestasi. Pintu pula disambut dengan door sills berlampu “MAYBACH Night Series” ini menampilkan detail kecil yang membezakan pemilik Night Series dengan pemilik Maybach biasa.

Masuk ke kabin, nuansa eksklusif Night Series terus menyerlah. Upholsteri menggunakan nappa leather Black with Black Pearl, lengkap dengan kesan “mother-of-pearl” dan piping golden-grey. Memang rasa premium tanpa perlu cuba.
Pencahayaan ambien pula diberikan tema baharu iaitu “Garnet Glow” seperti gabungan tona merah-berjingga yang memberikan suasana hangat dan moden. Trim kayu dark brown open-pore walnut MANUFAKTUR dengan corak herringbone menyuntik sentuhan klasik, manakala konsol tengah tampil dengan kemasan black crystal-look bersama motif Maybach.

Bahagian ventilasi udara depan dan belakang juga menggunakan kemasan dark shadow gloss, menyambungkan identiti Night Series dari luar ke dalam. Sistem infotainmen turut menampilkan animasi permulaan khas bertemakan “Black labels and backlights”
Di bawah hud, model ini masih mengekalkan konfigurasi 4.0L V8 biturbo dengan EQ Boost, memacu sistem 4MATIC yang terkenal dengan keselesaan dan kelancaran. Kuasa dah memang cukup, tapi dengan Maybach ini, fokusnya tetap pada wafting luxury dan mampu memberi pengalaman pemanduan yang senyap, lembut dan sangat halus.

Untuk Malaysia, Mercedes-Maybach S 580 4MATIC Night Series ditawarkan pada harga bermula RM2,404,888 (termasuk 10% ST, tanpa insurans). Seperti biasa, pelanggan boleh custom model ini melalui konfigurator rasmi Mercedes-Benz Malaysia.