
MDUA Motor Sdn Bhd hari ini melancarkan secara rasmi MODA Aero-E, sebuah skuter kompak baharu untuk pasaran Malaysia. Majlis pelancaran berlangsung di Six In The City, Petaling Jaya, menampilkan model dengan rekaan moden, tajam dan lebih aerodinamik bagi memenuhi keperluan penunggang muda serta pengguna harian di kawasan bandar.
Aero-E tampil dengan imej agresif melalui penggunaan lampu projektor LED berkembar di bahagian depan, manakala belakang menerima lampu LED rentang penuh, memberi identiti premium terutama pada waktu malam. Panel meter menggunakan paparan LCD digital yang terang, sesuai dengan kehendak penunggang era moden.

Model ini turut menyediakan port pengecasan USB & USB-C, satu ciri yang jarang ditawarkan dalam segmen harga sebegini.
Di bawah badan, Aero-E dikuasakan enjin SOHC 4-lejang 118.8cc, suntikan bahan api (Fi), penyejukan udara. Ia menghasilkan 9.1 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm, angka yang memadai untuk kegunaan harian di kawasan bandar.

Dengan berat hanya 110 kg, skuter ini dijangka lebih lincah ketika menyelit dalam trafik dan mudah dikawal oleh penunggang baharu. Ia dipadankan dengan transmisi CVT, tangki 5.5 liter, dan ruang simpanan bawah pelana 6.5 liter.
Aero-E menggunakan tayar hadapan 90/90-14 dan belakang 100/90-14, kedua-duanya tanpa tiub. Rim 14 inci ini memberi kelebihan dari segi kestabilan dan lebih yakin meredah jalan tidak rata.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentakan tunggal di belakang. Brek pula menggunakan konfigurasi cakera depan dan dram belakang.
MODA Aero-E ditawarkan dalam dua warna:
Cobalt Blue
Carmine Red
Harga jualan: RM5,189
(tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran & insurans)

Spesifikasi ringkas MODA Aero-E
Enjin: 118.8cc, SOHC, 1-silinder, FI
Kuasa: 9.1 hp @ 7,500 rpm
Tork: 9.5 Nm @ 6,000 rpm
Penyejukan: Udara
Berat: 110 kg
Tangki: 5.5L
Brek: Cakera depan / dram belakang
Tayar: 90/90-14 (depan), 100/90-14 (belakang)
Suspensi: Teleskopik / monoshock
Transmisi: CVT
Euro 4
