Aksi sengit dan penuh gaya perlumbaan Super GT mewarnai Pusingan 2 Vios Challenge yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), apabila 36 pelumba termasuk dari Thailand, Singapura dan India bertarung dalam perlumbaan 1 jam yang mendebarkan.

Perlumbaan kali ini menyaksikan kesemua tiga kelas seperti Super Sporting, Sporting dan Rookie digabungkan dalam satu perlumbaan endurance yang menggantikan format 10 pusingan sprint yang biasa digunakan. Perlumbaan ini turut diadakan bersempena dengan pusingan Malaysia AUTOBACS SUPER GT, yang kembali selepas 12 tahun dan menarik kehadiran lebih 28,000 penonton pada hari pertama.

Dalam kelas profesional Super Sporting, Mitchell Cheah dari Team Prima Pearl SP Selatan tampil cemerlang dengan kemenangan bergaya, diikuti Ady Rahimy dan Freddie Ang yang masing-masing mengekalkan kedudukan podium.

Kelas Sporting pula menyaksikan dominasi pasukan BAE Racing by ES Yang apabila Justin Toh dan Elson Lew mencipta kemenangan 1 dan2, manakala Varunchit Wattanathanakun dari Team Nexzter PMC 52 meraih podium ketiga buat kali kedua berturut-turut.

Sementara itu, dalam kelas Rookie, pelumba muda Justin Rahul Dev menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti pelumba wanita berbakat Genevieve Ooi dan Aydan Khaliq. Ini merupakan pencapaian terbaik Genevieve sejak menyertai Toyota GAZOO Racing Malaysia’s Young Talent Development Program.

Perlumbaan ini turut menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba, lebih-lebih lagi dalam cuaca panas terik yang mencabar dan namun ia turut membuktikan bahawa bakat-bakat tempatan semakin menyerlah di pentas perlumbaan tempatan yang berprestij.
