UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini memperkenalkan dua model baharu di bawah keluarga Gazoo Racing (GR) mereka: GR Supra Track Edition dan GR Yaris Varian Automatik yang dilengkapi transmisi 8-kelajuan baharu, GAZOO Racing Direct Automatic Transmission.

Kedua-dua model ini membawa kejuruteraan sukan permotoran dan keupayaan rali ke jalan raya biasa, menegaskan komitmen Toyota untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang mendebarkan dan berfokuskan pemandu.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata pengembangan ini mencerminkan semangat Toyota dalam mengejar prestasi dan ketepatan. “Setiap model GR bukan sekadar kenderaan, tetapi satu pengalaman emosi yang mencabar batas dan memberi keyakinan kepada pemandu,” katanya.
GR Supra Track Edition: Fokus Prestasi Litar

GR Supra Track Edition membina warisan empat dekad dengan peningkatan pengendalian, kawalan casis dan aerodinamik. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0L turbo enam silinder sebaris yang menghasilkan 388 PS dan 500 Nm tork, dengan pilihan transmisi manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan.

Peningkatan lain termasuk suspensi Adaptive Variable yang ditala semula, stereng kuasa elektrik dengan tetapan khas Track Edition, dan brek Brembo 4-piston. Bahagian aerodinamik dipertingkat dengan spoiler ducktail karbon fiber dan aero flaps, manakala rim aloi tempa 19 inci matte hitam mengurangkan jisim tidak berspring untuk pengendalian lebih tajam.

Bahagian dalaman menampilkan balutan Alcantara dan kulit hitam, tali pinggang merah dan sistem bunyi JBL 12-pembesar suara. GR Supra Track Edition dijual bermula pada RM698,000.
GR Yaris Automatik: Prestasi Rali Kini Lebih Mudah Diakses

GR Yaris kini ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik 8-kelajuan GAZOO Racing Direct, dibangunkan berdasarkan maklum balas pasukan Toyota GAZOO Racing World Rally. Ia menawarkan penukaran gear yang pantas dan responsif mengikut gaya pemanduan pemandu.

Masih mengekalkan enjin 3-silinder turbo paling berkuasa di dunia (300 PS dan 400 Nm), GR Yaris automatik memecut dari 0–100 km/j dalam hanya 5.2 saat. Varian ini turut dilengkapi Launch Control, sistem penyejukan ATF khas, dan ciri keselamatan Toyota Safety Sense 3.0.

GR Yaris Varian Automatik dijual pada harga RM325,600, menjadikan prestasi berinspirasikan rali lebih mudah dinikmati untuk pemanduan harian.

Kedua-dua model ini kini boleh didapati di semua GR Garage seluruh Malaysia, disertakan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta sokongan penuh selepas jualan.





