Isuzu Malaysia melantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu bermula 24 April 2025, menggantikan Shunsuke Okazoe yang kembali ke Jepun untuk menyandang jawatan baharu di Isuzu Motors Ltd.
Dengan pengalaman luas dalam pasaran antarabangsa seperti Rusia, Ukraine, negara-negara CIS dan Afrika Selatan, Yamaguchi kini bersedia memimpin operasi Isuzu di Malaysia, sebuah pasaran yang diakui beliau sebagai matang dan kukuh dalam tempoh hanya dua dekad.

Sebagai CEO baharu, Yamaguchi memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama: memperkukuhkan rangkaian pengedar, meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan, serta memastikan bekalan alat ganti sentiasa mencukupi. Fokus ini bertujuan memastikan setiap pemilik kenderaan Isuzu terus menikmati pengalaman yang positif dan memuaskan.
Beliau juga bertekad untuk memperluaskan lagi perkhidmatan dalaman pengedar, sambil memperkemaskan pengurusan inventori bagi menyokong pertumbuhan jumlah kenderaan Isuzu di atas jalan di Malaysia.

Menurut Yamaguchi, kejayaan Isuzu Malaysia hari ini dibina atas sokongan pelanggan yang menghargai ketahanan kenderaan jenama ini, dan beliau berhasrat untuk terus memupuk hubungan jangka panjang ini melalui peningkatan berterusan dalam pengalaman pelanggan.