Sunway Marketing, rakan pengedar pertama Zeekr di Malaysia, hari ini secara rasmi melancarkan Zeekr Space Sunway City dan Pusat Servis Zeekr Sunway ini menandakan satu lagi langkah besar dalam perjalanan jenama EV premium ini di pasaran tempatan. Lokasi utama ini sebelum ini merupakan helipad ikonik Sunway City, kini ditransformasi menjadi ruang jualan dan servis kenderaan elektrik yang moden dan bersepadu.

Dengan keluasan 11,100 kaki persegi, Zeekr Space Sunway City menempatkan enam ruang pameran untuk model-model terkini seperti Zeekr X dan Zeekr 009, serta dua ruang khas penyerahan kenderaan bagi mencipta detik istimewa buat pelanggan. Turut tersedia ialah lounge pelanggan premium, stesen perbincangan bersama penasihat jualan, dan empat pengecas AC β€” lengkap untuk menyambut gaya hidup EV masa kini.

Melengkapkan pengalaman pemilikan Zeekr ialah Pusat Servis Zeekr Sunway yang terletak berhampiran, di Jalan Lagoon Selatan. Dengan fasiliti terkini, kawasan menunggu yang selesa serta tenaga kerja terlatih, pusat servis ini memastikan pemilik Zeekr menerima perkhidmatan lepas jualan yang cekap dan menyenangkan. Malah, fasiliti ini direka untuk berkembang dua kali ganda bagi menampung permintaan akan datang.

Sejak penghantaran unit pertama pada Disember 2024, Sunway Marketing telah berjaya menyerahkan lebih 600 unit Zeekr kepada pelanggan di seluruh negara. Ini membuktikan sambutan positif terhadap jenama yang menekankan kemewahan, teknologi dan kelestarian dalam satu pakej.

Sempena pelancaran ini, Zeekr turut mengadakan peraduan “Win-a-Zeekr” di mana pelanggan berpeluang memenangi sebuah Zeekr X Premium baharu. Pembelian mana-mana model dari Zeekr Space Sunway City atau Petaling Jaya sebelum 30 September 2025 akan melayakkan penyertaan cabutan bertuah dengan peluang berganda bergantung pada model yang dibeli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *