Volvo Cars Malaysia hari ini telah melancarkan dua SUV mewah siri 90 untuk pasaran Malaysia. Siri 90 yang pertama adalah model XC90 MY25 yang telah di reka semula untuk ke arah era elektrifikasi. Volvo XC90 MY25 yang merupakan sebuah ikon moden yang kekal relevan dengan reka bentuk abadi. Kemaskini luaran Volvo XC90 MY25 ini pada muka hadapan yang telah direka semula yang menyerlahkan kesinambungan dengan model elektrik sepenuhnya.

Ruang kokpit XC90 MY25 ini juga telah menerima perubahan seperti naik taraf unit infotaimen kepada saiz lebih besar 11.2 inci berbanding model terdahulu, dan penggunaan material dalaman yang lebih baik. Selain itu juga, untuk model keluaran MY25 ini juga telah dinaik taraf penebat bunyi kenderaan untuk memberikan keselesaan yang lebih optimum kepada penumpang yang berada di dalam kabin.

Untuk XC90 MY25 ini juga turut ditawarkan dengan dua varian rangkaian kuasa seperti T8 Hibrid Plug-In dan juga B5 Hibrid ringan. Kedua-dua varian ini didatangkan dengan enjin berkapasiti 2.0 liter dan digabungkan dengan transmisi Geartronic lapan kelajuan untuk memacu semua roda. Untuk varian T8 Hibrid Plug-in didatangkan dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa gabungan maksimum 462 hp dan 709 Nm tork dengan kemampuan memecut 0-100km/j dalam tempoh 5.3 saat. Selain itu varian ini juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 1.8 liter untuk setiap 100 km.

Sementara varian B5 Hibrid ringan ini pula menghasilkan kuasa maksimum 263 hp dan 390 Nm tork dan mampu memecut 0-100km/j dalam tempoh 7.7 saat.

  - Volvo XC90 Ultra T8 RM 434,888 / RM 434,457 (Sabah & Sarawak)
  - Volvo XC90 Ultra B5 RM 418,888 / RM 418,457 (Sabah & Sarawak)

Siri 90 kedua yang dilancarkan adalah Volvo EX90 yang merupakan SUV elektrik penuh yang pertama di Malaysia dengan memiliki keupayaan kamera LiDAR. Volvo EX90 merupakan SUV elektrik penuh dengan kapasiti tujuh tempat duduk yang pertama direka oleh Volvo untuk menjadi Volvo yang paling selamat, dan ia juga merupakan pencapaian sulung daripada Volvo, dimana iya merupakan kenderaan pertama yang dikuasakan sepenuhnya oleh perisian dan yang pertama dibina dengan sistem perkakasan yang bersedia untuk pemanduan berautonomi.

Volvo EX90 Ultra Twin kini ditawarkan di pasaran Malaysia dengan sistem Performance AWD yang menghasilkan kuasa maksimum 517 hp dan tork 910 Nm. SUV elektrik ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.9 saat. Dikuasakan oleh bateri lithium-ion NMC berkapasiti 111 kWh (kapasiti guna 107 kWh), EX90 menyokong pengecasan pantas dari 10% ke 80% dalam masa 30 minit dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 623 km mengikut standard WLTP.

Dari segi kelengkapan, EX90 hadir dengan ciri premium seperti bumbung panoramik berlamina, Pilot Assist bersama kawalan melayar adaptif, kamera 360 darjah dengan pandangan 3D, pintu tailgate kuasa, tempat duduk barisan ketiga boleh lipat, dan sistem penyaman udara empat-zon. Untuk varian Ultra, tambahan seperti casis aktif dengan suspensi udara, tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan dan sokongan sisi berkuasa, pintu dengan fungsi tutup lembut, rim Aero 21 inci, serta cermin sisi dan belakang berlamina turut disertakan.

EX90 ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Onyx Black, Crystal White, Vapour Grey, dan warna baharu Sand Dune. Bahagian dalaman pula boleh dipilih antara tema Charcoal atau Cardamom, lengkap dengan kemasan Nordico dan dekor Kayu Birch semula jadi yang diperakui FSC™.

  - Volvo EX90 (CBU) RM 442,888 / RM 442,648 (Sabah & Sarawak)

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *