Kebiasaanya apa yang dibimbangkan apabila berdepan dengan kenderaan elektrik sepenuhnya adalah terhadap kebimbangan terhadap jarak perjalanan yang mampu dicapai. Kali ini penulis berpeluang untuk memandu uji Mercedes-Benz EQE 350+. Model ini merupakan model kenderaan elektrik penuh yang dihasilkan oleh Mercedes-Benz.

- Reka bentuk sedan ke arah futuristik. Melihat sudut pandang rekaan luaran Mercedes-Benz EQE 350+ ini boleh dikatakan lebih ke arah futuristik, ia tidak lihat sama seperti rekaan sedan lain keluarga Mercedes-Benz. Mungkin disebabkan faktor rekaan yang futuristik ini juga dapat membenarkan Mercedes-Benz EQE 350+ ini bergerak jauh dengan satu pengecasan penuh berbanding dengan model kenderaan elektrik yang lain.
Selain itu, rekaan grill hadapan tutup sepenuhnya serta pemegang pintu yang terbenam dalam juga turut menyumbang untuk memberikan aerodinamik yang lebih baik sehingga model Mercedes-Benz EQE 350+ ini memiliki daya seretan rendah sekitar 0.22 cd.

- Rekaan futuristik, tetapi resah bila bertemu bonggol.
Setiap kali penulis memandu Mercedes-Benz EQE 350+ ini, rasa seronok dan keselesaan itu dapat dirasakan pada model ini, tetapi perasaan itu digangu apabila penulis memandu dijalan dan bertemu dengan bonggol. Setiap kali melalui bonggol, penulis cukup berhati-hati dan perlahan, ini kerana permukaan bawah Mercedes-Benz EQE 350+ ini boleh dikatakan sangat rendah hingga kerap mengesek bonggol.
- Ruang dalaman ringkas serta futuristik.
Dari pandangan luaran sudah pun memiliki reka bentuk futuristik, maka ruang dalaman Mercedes-Benz EQE 350+ ini juga turut menggunakan bahasa yang sama dengan rekaan ruang dalaman yang serba ringkas tapi cukup futuristik. Perasaan ini seperti anda berada didalam kereta masa hadapan. Unit media hibur Mercedes-Benz EQE 350+ ini mempunyai sokongan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto. Cuma kedudukan skrin papan kluster meter sedikit kurang sesuai pada pandangan penulis kerana dengan pelarasan yang sesuai untuk penulis, ada maklumat yang terhalang dengan roda stereng.

Selain itu, lampu ambien sangat banyak dilengkapkan didalam Mercedes-Benz EQE 350+ ini, dan yang paling gempak dengan animasi lampu ambien yang cukup meriah ini, sehingga penulis rasa sedikit kurang sesuai dengan kemewahan yang dibawakan oleh Mercedes-Benz EQE 350+ ini.
- Jarak Perjalanan yang boleh buat tersenyum.
Kebiasaannya, jika memandu kenderaan elektrik penuh, sudah pasti ada rasa bimbang dengan jarak perjalanan. Tetapi untuk Mercedes-Benz EQE 350+ ini mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 669 km dengan satu pengecasan penuh. Model ini dilengkapkan dengan pek bateri standard yang berkapasiti 90.56 kWh.
Secara standard, Mercedes-Benz EQE 350+ hadir dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 292 hp dan 565 Nm yang memacu roda belakang sepenuhnya. Selain itu Mercedes-Benz EQE 350+ ini turut dilengkapkan dengan pembesar suara yang boleh menghasilkan bunyi seperti deruman enjin bagi memberikan pengalaman menarik untuk pemanduan elektrik. Bunyi ini boleh dipilih melalui sistem infohibur.

Secara ringkasnya, dari pengalaman pandu uji ini Mercedes-Benz EQE 350+ ini merupakan kenderaan elektrik mewah yang futuristik dan dalam masa yang sama dapat memberikan sedikit ketenangan jiwa dengan jarak pemanduannya lebih jauh berbanding model kenderaan elektrik penuh yang lain. Tetapi saranan penulis kepada pembaca, Jika anda betul berminat terhadap Mercedes-Benz EQE 350+ ini, penulis cukup menyarankan anda untuk alami pengalaman sendiri. Mungkin citarasa kita berbeza.