
Subang Jaya, 6 Februari PROTON dalam satu kenyataan media mengumumkan bahawa 2026 PROTON S70, Malaysia’s Sporty Sedan, kini mula tiba di bilik pameran sah 3S/4S di seluruh negara, dengan tempahan dibuka secara rasmi bermula 7 Februari.
Pratonton awal ini, menjelang pelancaran rasminya, memberi peluang eksklusif kepada rakyat Malaysia untuk melihat evolusi terbaharu Malaysia’s Sporty Sedan dari dekat.
2026 PROTON S70 dibangunkan berasaskan empat teras utama yang mentakrifkan karakter dan hala tujunya, mencerminkan fokus PROTON terhadap kejuruteraan berorientasikan prestasi, teknologi pintar dan kebolehgunaan harian yang diperhalusi.
Prestasi Dipertingkatkan (Elevated Performance) menjadi asas identiti sporty S70, dikuasakan enjin i-GT 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan DCT.

Menghasilkan 181PS dan 290Nm tork, sistem pacuan yang dikemas kini ini memberikan pecutan lebih kuat, mencapai 0–100km/j dalam hanya 7.5 saat, sambil mengekalkan kecekapan bahan api mengagumkan pada 5.7L/100km.
Pelarasan yang dipertingkatkan memastikan penukaran gear lebih lancar, prestasi lebih responsif, serta kos operasi lebih rendah, memberikan keseimbangan lebih baik antara kuasa, kecekapan dan penggunaan harian.Gaya Dipertingkatkan (Enhanced Styling) menajamkan kehadiran atletik S70 dengan Lampu Hadapan LED dan Lampu Nyalaan Siang Hari (DRL), Rim Aloi baharu 17 inci serta kit aerodinamik yang dikemas kini.
Di bahagian dalam, kabin hitam bergaya dengan kemasan diperhalusi meningkatkan suasana berorientasikan pemandu dan menegaskan karakter moden serta berprestasi sedan ini.
Ketersambungan Pintar (Excellent Connectivity) menyerlahkan fokus PROTON terhadap pengalaman digital yang intuitif, berteraskan paparan infotainmen 12.3 inci yang dilengkapi Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Interaksi suara pintar dan ciri sambungan dalam kereta yang dipertingkatkan direka untuk meningkatkan kemudahan, kebolehcapaian dan interaksi pemandu sepanjang setiap perjalanan.

Keselamatan Menyeluruh (Extensive Safety) kekal sebagai keutamaan, dengan 2026 PROTON S70 dilengkapi 13 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2. Fungsi bantuan pemandu utama seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Keep Assist (LKA) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA)bekerjasama dengan sistem keselamatan aktif lain bagi meningkatkan kesedaran, keyakinan pemanduan dan ketenangan minda.

Dengan tempahan dibuka pada 7 Februari 2026, pelanggan boleh membuat tempahan dengan bayaran RM500 di bilik pameran sah PROTON 3S/4S di seluruh negara bagi mendapatkan keutamaan pemilikan menjelang pelancaran rasmi pada 11 Februari 2026.