Mercedes-Benz Malaysia bersama rakan kongsi strategiknya, NZ Wheels, meraikan satu pencapaian besar dengan pelancaran Stars@Mercedes-Benz Bangsar yang merupakan showroom Top-End Vehicle (TEV) terbesar di dunia dan yang pertama seumpamanya menampilkan konsep retail brand presence baharu Mercedes-Benz.
Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia, Amanda Zhang, berkata pembukaan ini menandakan langkah penting dalam evolusi pengalaman pelanggan jenama tersebut.
“Stars@Mercedes-Benz Bangsar bukan sekadar tempat pameran, tetapi satu destinasi gaya hidup mewah. Dengan teknologi digital terkini dan rekaan ruang yang eksklusif, kami menawarkan perjalanan holistik yang mencerminkan kemewahan dan inovasi yang menjadi teras jenama kami,” katanya.
Showroom berkeluasan 1,800 meter persegi ini direka khusus untuk komuniti berkemampuan tinggi di sekitar Bangsar dan Kuala Lumpur. Ia menempatkan model paling eksklusif daripada Mercedes-Benz, Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach dan G-Class, semuanya di bawah satu bumbung.
Dengan pelaburan RM5 juta oleh NZ Wheels, Stars@Mercedes-Benz Bangsar menawarkan dua tingkat ruang pameran yang moden, selesa dan serba interaktif serta termasuk bilik konsultasi peribadi, digital interface, serta ruang santai ala kafe untuk pelanggan.
Aras bawah menampilkan ruang pameran yang boleh diubahsuai dalam masa hanya 30 minit bagi memadankan identiti setiap sub jenama seperti AMG, Maybach, G-Class atau Mercedes-Benz. Ruang khas MANUFAKTUR turut disediakan untuk pelanggan yang ingin menempah kenderaan dengan sentuhan peribadi melalui pilihan warna, material dan kemasan tersendiri.
Selain itu, skrin digital besar menambah elemen interaktif dengan paparan audio visual berkualiti tinggi yang menghidupkan suasana setiap jenama.
Aras pertama pula menampilkan konsep retail digital baharu Mercedes-Benz, yang membolehkan pelanggan meneroka kenderaan secara lebih intuitif melalui paparan interaktif dan smart displays. Ruang AMG Performance Center juga disediakan bagi peminat prestasi tinggi untuk merasai aura dan emosi sebenar dunia AMG.
Showroom ini turut dilengkapi pengecas pantas DC 50 kW dan kawasan digital handover untuk pengalaman serahan kenderaan yang lebih lancar. Menjelang suku kedua 2026, NZ Wheels bakal membuka pusat servis 2S baharu di Jalan Genting Klang/Setapak bagi memperkukuh rangkaian selepas jualan mereka.
Kini, NZ Wheels mempunyai empat cawangan utama yang terletak di Klang, Johor Bahru, Setapak dan Bangsar dengan jumlah pelaburan mencecah RM20 juta dalam usaha mempertingkatkan pengalaman pemilikan kenderaan mewah di Malaysia.
“Showroom ini mencerminkan komitmen kami untuk membawa pengalaman automotif mewah ke tahap lebih tinggi. Ia adalah simbol inovasi, elegan dan kepuasan pelanggan yang menjadi keutamaan kami,” ujar Dato’ Jasmy Ismail, Pengerusi Kumpulan Naza Automotive Group.
Ringkasan
Lokasi: Bangsar, Kuala Lumpur
Keluasan: 1,800 m²
Pelaburan: RM5 juta (oleh NZ Wheels)
Kemudahan: DC fast charger 50 kW, ruang digital handover, café lounge
Fokus: Mercedes-Benz, AMG, Maybach, G-Class
Tarikan utama: MANUFAKTUR customisation area, AMG Performance Center