Jenama tempatan yang pernah mencuri perhatian dengan nama ikonik Gila-Gila Remaja, GGR Motor kini membuka lembaran baharu dalam dunia automotif apabila melancarkan motosikal elektrik (EV) terbaharu mereka sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian menerusi inisiatif “Go Green Revolution”.

Lebih menarik, pelancaran yang dijadual berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur akan digamatkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air serta disokong oleh agensi kerajaan dan rakan industri seperti PMH MOTOR Sdn Bhd yang bertindak sebagai Rakan Strategik Eksklusif dan pengedar utama EV keluaran GGR Motor. Antara wajah selebriti yang bakal memeriahkan majlis termasuk Johan, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Bella Astillah, Farid Kamil, dan Cat Farish menjadikan acara ini bukan sekadar pelancaran produk, tetapi satu pesta gaya hidup hijau yang meriah dan berimpak tinggi.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pendekatan melibatkan selebriti ini adalah strategi untuk mengangkat kesedaran awam terhadap penggunaan EV dalam kalangan masyarakat muda dan pengguna bandar. “Apabila artis popular mula menggunakan EV, mereka bukan sekadar jadi pengguna tetapi mereka jadi duta perubahan budaya mobiliti. Kita mahu EV dilihat bukan hanya sebagai teknologi, tetapi gaya hidup moden,” jelasnya.

Pelancaran ini turut mendapat suntikan sokongan daripada Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, yang akan hadir selaku tetamu kehormat dan sebagai mengiktiraf penglibatan graduan TVET MARA seperti IKM Beseri dan UNIKL MFI dalam pembangunan EV GGR Motor. Sepanjang hari pelancaran, pelbagai aktiviti menanti pengunjung juga berpeluang untuk sesi test ride, pameran EV, networking bersama pelabur, sesi media khas, persembahan artis, serta cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa motosikal elektrik!
Menariknya, GGR Motor turut merancang membuka cawangan kedai konsep bersama selebriti terpilih. Johan yang turut dikenali melalui jenama F&B “Itik ke Ayam?” Yang turut bakal menjadi antara rakan kolaborasi utama.“Kami mahu kembangkan pengaruh jenama ini ke luar kotak. Bukan hanya produk, tapi sebagai pergerakan budaya serta memacu perubahan dengan cara yang dekat dengan hati rakyat,” ujar Mussadiq.

Sebagai tanda sokongan terhadap muzik dan komuniti hijau, dua unit LionG1 e-bike akan ditaja sebagai hadiah kepada penonton bertuah konsert “Aku Muzik Kamu (AMK) Indie 2025” di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 & 27 Julai depan. “Ini sebahagian usaha kami menyemarakkan semangat mobiliti hijau dalam pelbagai platform, dari jalan raya ke pentas konsert,” tambah beliau.
Untuk kemuncak pelancaran, GGR Motor kini dalam rundingan bersama Pejabat Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyempurnakan pelancaran rasmi model EV sulung mereka.
