Kebiasaanya jika SUV ini, reka bentuk jarang la nak kata macam menarik sangat, kebanyakkan SUV ni reka bentuk nampak matang atau bahasa pasar “nampak abah-abah” jadi jarang la nak menambat pemilik yang lebih muda. Jadi baru-baru ni, penulis berpeluang memandu uji sebuah SUV dari Chery. Kebiasaanya sudah pasti jika sebut pasal jenama, ramai yang akan persoalkan seperti ? “Eh okey ke kereta tu?” tapi kali ini memang boleh nampak Chery Automobile telah mengubah persepsi tersebut ke arah yang tampil lebih berbeza dan mampu untuk bersaing bersama jenama-jenama mewah lain.

Dari segi rupa luaran, penulis makin lama macam makin jatuh hati. Chery Tiggo 7 Pro ni nampak rekaannya lebih matang dari setiap sudut seperti rekaan muka hadapan dengan jeriji radiator berbentuk berlian (Diamond) yang tidak la keterlaluan, kemudian lampu utama LED yang tampil nampak lebih ringkas dan jauh lebih kemas. Dari sudut pandang belakang pula Chery Tiggo 7 Pro ini pun menampikan satu pandangan yang agak matang dengan rekaan kombinasi lampu belakang yang ringkas dan bersambung membuatkan pandangan kereta nampak lebar jika anda ikut dari belakang.

Dari sudut sisi kenderaan pula, Roda aloi berukuran 18 inci, tetapi anda pasti akan sedikit terkejut dengan angkup brek Chery Tiggo 7 Pro ni bewarna merah nampak seperti sporty. Tapi apa yang kadang-kadang buat penulis rasa macam tertanya-tanya adalah, jika dilihat dari pandang sudut keseluruhan, Chery Tiggo 7 Pro ni tidak nampak seperti SUV bersaiz sederhana, tapi rasa macam SUV bersaiz penuh. Sebaliknya Chery Tiggo 7 Pro ini memiliki ukuran panjang 4,513mm, lebar 1,862mm dan tinggi sekitar 1,696mm dimana saiz keseluruhan ini adalah lebih kecil berbanding pesaingnya seperti X70.

Masuk je ke ruang dalaman Chery Tiggo 7 Pro, penulis seakan-akan seperti duduk dalam kenderaan jenama mewah. Bahagian papan pemuka Chery Tiggo 7 Pro ini memiliki beberapa bahagian yang dibalut dengan upholsteri kulit buatan dan disulami dengan kemasan gentian karbon. Mungkin nak bagi ada rasa sporty seperti angkup brek merah kot!. Dari sudut kelengkapan aksesori pula, tidak dinafikan, ia seperti apa sahaja kereta mewah ada, Chery Tiggo 7 Pro pun ada!.

Unit infohibur Chery Tiggo 7 Pro ini nampak seperti sebuah skrin besar 24.6 inci, tetapi ia merupakan gabungan daripada dua skrin 12.3 inci setiap satu. Unit infohibur Chery Tiggo 7 Pro ini turut mempunyai ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay serta Android Auto dengan padanan lapan pembesar suara daripada SONY. Di tengah ruang konsol pula memiliki unit pengecasan tanpa wayar 50 watt serta lampu ambien yang boleh dipilih sebanyak 64 pilihan. “Nak set ikut beat lagu pun boleh!

Selain itu terdapat juga pelbagai ciri-ciri yang boleh memukau seperti kehadiran bumbung paromik, pelarasan kuasa enam hala untuk tempat duduk pemandu, dan empat hala untuk penumpang hadapan, unit sistem penghawa dingin dua zon, dan keyles entry dengan fungsi auto start dan walk-away autolock. Tadi penulis kata Chery Tiggo 7 Pro ini sedikit kecil berbanding pesaingnya kan, tapi untuk pengetahuan pembaca, Chery Tiggo 7 Pro memiliki ruang but berkapasiti 475 liter dan jika tempat duduk belakang diturunkan, maka ruang kapasiti meningkat sehingga 1,672 liter.

Untuk sistem keselamatan, Chery Tiggo 7 Pro ini dilengkapkan dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif seperti Autonomous Emergency Braking, Multi Collision Brake, Blind Spot Detection, Traffic Jam Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist dan pelbagai lagi. Selain itu turut memiliki tujuh beg udara serta sistem kamera 540 darjah.
Rupa dah cantik dan matang, soal prestasi pula bagaimana ? Chery Tiggo 7 Pro ini didatangkan dengan enjin berkapasiti 1.6 liter dengan pendesak turbo yang berkemampuan menghasilkan kuasa sekitar 197 PS dan 290 Nm tork, serta digabungkan dengan transmisi automatik DCT tujuh kelajuan yang mampu membuat pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat dan mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 205 km/j. Jumlah tork yang dihasilkan Chery Tiggo 7 Pro ini boleh dikatakan lebih tinggi berbanding pesaing-pesaingnya.

Dari segi pengalaman pemanduan pula, Chery Tiggo 7 Pro ini sangat selesa dipandu untuk perjalanan jauh, tetapi jika berada didalam kesesakan lalu lintas kotaraya, ada sedikit tidak selesa apabila transmisi DCT ini membuatkn Chery Tiggo 7 Pro tersenguk-senguk. Tapi bila penulis dapat biasakan gaya pemanduan ini, sedikit sebanyak dapat penulis mengurangkan rasa tersenguk-senguk tersebut. Dari sudut sistem suspensi, Chery Tiggo 7 Pro ini sangat la selesa dan lembut, seronok bila lalu jalan tidak rata, penulis dapat rasakan keselesaan itu, tetapi apabila memandu laju, penulis merasakan kurang keyakinan apabila melalui selekoh-selekoh dengan sistem suspensi yang agak lembut ini.

Pada pandangan penulis, Chery Tiggo 7 Pro ini merupakan SUV segmen C yang boleh diletakan dalam senarai “Boleh Beli” dengan harga jualan yang agak menarik sekitar RM 130,000, serta jaminan dari Chery Malaysia yang menawarkan jaminan selama tujuh tahun atau 150,000 km, khidmat trak tunda percuma 24/7 dan pakej servis percuma lima tahun untuk Chery Tiggo 7 Pro ini.