Chery Corporate Malaysia telah menyumbangkan RM50,000 kepada Masjid Putra Heights dalam menyokong usahanya sebagai pusat pemindahan sementara selepas insiden letupan gas di Putra Heights, Selangor.Masjid Putra Heights, yang kini memberi perlindungan kepada sekitar 80 keluarga, turut bergelut dengan kenaikan kos utiliti ketika ia menolong mereka yang memerlukan. Chery berharap sumbangan RM50,000 ini dapat meringankan beban masjid dalam usaha mereka memberikan perlindungan dan sokongan kepada keluarga yang terjejas pada masa yang mencabar ini.

Pihak pengurusan Chery Corporate Malaysia – Naib Presiden Chery Corporate Malaysia, Cheng Nam Weng, dan Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen, telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengurus Masjid Putra Heights, Abdul Hadi Hidzan. Majlis ringkas yang diadakan di masjid tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, dan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, YB Ng Sze Han.

Chery juga telah menyerahkan sebahagian (25 kereta) daripada 50 kenderaan yang dijanjikanuntuk program pinjaman kenderaan sementara selama sebulan yang diumumkan oleh syarikat automotif itu pada hari Rabu (2 April) yang lalu. Baki kenderaan akan diserahkan pada awal minggu depan. Program pinjaman kenderaan sementara ini bertujuan untuk membantu keluarga yang terjejas dengan menyediakan pengangkutan sementara bagi membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan penting seperti perjalanan harian, janji temu perubatan, dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, YB Ng Sze Han, serta pihak berkuasa tempatan yang menyelia usaha bantuan. Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat, Chery Corporate Malaysia turut memberikan sumbangan RM100 kepada setiap penerima kenderaan sebagai wang petrol.