Kuala Lumpur, 3 Oktober 2025 Chery Malaysia baru saja melancarkan dua model baharu dalam keluarga SUV mereka, iaitu Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV. Kedua-duanya datang dengan teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang fokus pada gabungan kuasa petrol + elektrik.
Menurut Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia, PHEV kini jadi pilihan penting kerana ia beri “rasa selesa macam kereta petrol” tapi dalam masa sama bawa pengalaman elektrik dengan kos lebih jimat.

SUV baharu ini dikuasakan enjin 1.5L TGDi Turbo bersama motor elektrik, hasilkan kuasa gabungan 275 PS dan tork 365 Nm. Prestasi mantap, tapi masih efisien. Bateri 18.3 kWh LFP yang dipasang mampu gerakkan SUV ini sejauh 90 km secara elektrik penuh, manakala jarak gabungan penuh boleh cecah 1,200 km dengan sekali cas penuh + tangki penuh.
Pengecasan DC 40kW ambil masa lebih kurang 19 minit (30% ke 80%). Kalau guna pengecas AC 6.6kW, sekitar 3 jam. Sokongan V2L pun ada, boleh guna kereta ni untuk bekalkan kuasa elektrik ke peralatan luar. Dari sudut keselamatan, Chery bawa masuk sistem Guardian Battery Safety. Bateri dilindungi IP68, tahan debu, air dan suhu ekstrem. Malah ada ciri automatik potong kuasa tinggi kalau berlaku insiden.

Tiggo 7 PHEV dengan gril diamond menegak, manakala Tiggo 8 PHEV lebih premium dengan logo bercahaya di depan. Lampu LED dan rim sport baharu menyerlahkan gaya moden. Bahagian dalaman pula lebih canggih. Tiggo 7 PHEV datang dengan skrin berkembar 24.6 inci, manakala Tiggo 8 PHEV guna paparan tengah 15.6 inci. Semua dikawal cip Qualcomm Snapdragon 8155 untuk prestasi pantas.
Bagi yang suka hiburan, Tiggo 8 PHEV siap dengan sistem audio premium SONY 10-speaker. Pencahayaan ambien 64 warna dan kerusi kulit dengan ventilasi tambah rasa premium. Kedua-dua SUV memiliki ADAS 2.0, termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Autonomous Emergency Braking dan banyak lagi ciri bantuan pemandu. Chery Malaysia tawarkan waranti 7 tahun/150,000 km untuk keseluruhan kereta, serta 8 tahun/160,000 km untuk bateri, motor elektrik dan unit hibrid.

Untuk pilihan warna, Chery Tiggo 7 PHEV ada Phantom Grey, Khaki White dan Blood Stone Red dengan bumbung hitam. Tiggo 8 PHEV pula ada Aurora Green, Khaki White dan Carbon Black.
Dengan pakej teknologi, gaya moden dan jarak pemanduan panjang, jelas Chery mahu jadikan Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV sebagai SUV pilihan untuk mereka yang nak rasa elektrik, tapi masih perlukan fleksibiliti petrol.
- Chery Tiggo 8 PHEV CSH Bermula RM 159,800
- Chery Tiggo 7 PHEV CSH Bermula RM 129,800





