GGR Motor makin hampir jadi pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama Malaysia bila menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Seramai 25 pegawai JPJ diketuai Timbalan Pengarah, Eric Jusiang turun padang ke kilang GGR Legacy di Sungai Penchala untuk tengok sendiri proses pemasangan model sulung Lion G1. Lawatan ini jadi penanda penting sebab ia buka laluan kelulusan prosedur standard (SOP) dan pendaftaran rasmi motosikal EV tempatan.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi kata, kerjasama rapat dengan pihak berkuasa akan memudahkan lagi urusan pengeluaran serta pendaftaran motosikal elektrik. Bermula 1 September lalu, Lion G1 dah boleh didaftarkan secara rasmi dengan JPJ, dan lebih 6,000 unit tempahan dijangka diserahkan kepada pemilik tak lama lagi.

Menariknya, Lion G1 bukan sekadar motosikal elektrik biasa, ia dibangunkan hasil R&D tempatan dengan fokus pada harga mampu milik dan mesra alam. Sejak pelancaran Julai lalu, model ini sudah catat lebih 2,500 tempahan hanya dalam seminggu.

Untuk penuhi permintaan tinggi, GGR Motor rancang bina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung yang bakal jadi hab utama Lion G1 serta model EV lain pada masa depan. Kilang ni dijangka buka lebih 50 peluang kerja dalam bidang teknologi hijau.

Selain itu, GGR Motor juga jalin kerjasama dengan nama besar macam PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants untuk mantapkan lagi ekosistem EV tempatan.
Dengan sasaran 30,000 unit motosikal EV menjelang 2025, GGR Motor nampak serius mahu jadikan Malaysia hub motosikal elektrik serantau.